Keselamatan sosial harus seiring perkembangan global – Anwar
KUALA LUMPUR – Keselamatan sosial perlu dijadikan sebahagian daripada ekosistem global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia harus bergerak seiring dengan perkembangan dunia bagi memastikan prinsip keadilan dapat terus dicapai kerana dunia yang retak akibat ketidaksamarataan tidak akan mampu bertahan.
Jelasnya, jurang ketara antara negara maju dan negara membangun terus menjadi isu utama dalam usaha memperkukuh perlindungan dan keselamatan sosial di seluruh dunia.
“Ekosistem itu boleh mengambil pelbagai bentuk iaitu pembiayaan perlindungan yang lebih kukuh, dana global yang diwujudkan untuk kesihatan dan iklim, percukaian rentas sempadan yang lebih adil, serta perkongsian kepakaran dan teknologi supaya tiada negara yang ketinggalan.
“Tiada negara yang mampu menghadapi cabaran ini secara bersendirian. Jurang antara negara amat ketara. Negara-negara kaya melabur besar dalam perlindungan sosial. Sebaliknya, negara-negara miskin bergelut untuk menyediakan keperluan asas,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 yang bertemakan ‘Membentuk Keselamatan Sosial Untuk Dunia Dalam Peralihan, di sini hari ini.
Berkongsi pengalaman Malaysia, Anwar berkata, keadilan sosial negara diberi nafas baharu berlandaskan konsep MADANI.
“MADANI ialah falsafah yang berasaskan nilai-nilai yang telah bertahan selama berabad-abad: kelestarian, kemakmuran, inovasi, hormat, kepercayaan dan belas kasihan.
“Ia mengingatkan kita bahawa sesebuah masyarakat tidak dinilai berdasarkan kekayaan atau kuasa semata-mata, tetapi juga melalui keadilan, rasa hormat dan nilai yang diberikan kepada setiap individu,” kata Perdana Menteri.
Forum lima hari yang berlangsung hingga 3 Oktober itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial.
Ia dihadiri lebih 2,000 peserta dari lebih 133 negara termasuk wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Forum itu mempamerkan peranan Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam dialog global bagi usaha membentuk hala tuju ke arah sistem perlindungan sosial yang inklusif, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








