Kes kanak-kanak dirempuh: Jenazah dua sahabat selamat dikebumi dalam satu liang lahad
YAN – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Simpang Empat Sedaka, di sini malam tadi apabila dua sahabat yang maut dirempuh kereta dikebumikan bersama dalam satu liang lahad.
Jenazah Muhammad Izhar Adnan, 10, dan Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11, selamat disemadikan sekitar pukul 10 malam selepas kedua-duanya terbabit dalam kemalangan tragis di Kampung Sedaka Tengah.

Kehadiran ahli keluarga, jiran tetangga serta rakan-rakan sekolah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dulang menambah suram suasana pengebumian dengan ramai gagal menahan sebak mengenangkan pemergian dua sahabat yang begitu rapat itu, lapor Kosmo! Online.
Terdahulu, jenazah kedua-dua mangsa tiba di masjid berkenaan pada pukul 9 malam untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Menurut pihak masjid, Allahyarham Muhammad Izhar dan Muhammad Zaid merupakan jemaah tetap di masjid tersebut dan sering membantu dalam sebarang aktiviti yang dilaksanakan.
Semalam, media melaporkan bahawa kedua-dua kanak-kanak itu maut selepas basikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta pada pukul 9.15 pagi.
Mereka difahamkan baru selesai bersarapan roti canai di sebuah kedai berhampiran rumah sebelum kejadian berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




