Kes kanak-kanak maut dirempuh: Dua sahabat baik sempat sarapan bersama sebelum tragedi
YAN – Dua kanak-kanak lelaki yang maut akibat dirempuh kereta ketika menunggang basikal dalam kejadian di Kampung Sedaka Tengah, di sini pagi tadi merupakan sahabat baik sejak kecil dan sering ke masjid bersama.
Lebih memilukan ketika kejadian, mangsa, Muhammad Izhar Adnan, 10, dan Muhammad Zaid Haris Abdullah, 11, baru selesai bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka.
Bapa mangsa, Adnan Saad, 49, berkata, Muhammad Izhar memaklumkan ibunya, Fatimah Senawi, 49, dia mahu makan roti canai bersama kawan baiknya.
“Isteri saya sempat pesan kepada anak supaya pulang terus ke rumah selepas selesai bersarapan dan jangan singgah ke mana-mana.
“Namun dalam masa setengah jam, kami dapat berita anak dan sahabat baiknya maut dirempuh kereta ketika pulang daripada menikmati roti canai,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurutnya lagi, anak bongsu daripada enam beradik itu berkawan baik dengan Muhammad Zaid sejak kecil dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dulang, di sini.

“Mereka berdua sentiasa bersama ke masjid di kampung ini sama ada untuk menunaikan solat atau membantu pihak pengurusan masjid melaksanakan sebarang aktiviti.
“Baru-baru ini, mereka membantu membersihkan bahagian dapur masjid selepas aktiviti memasak pada sebelah petang,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 9.25 pagi.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai merempuh basikal dinaiki dua kanak-kanak itu.
“Jenazah kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

