Kes 1MDB: Roger Ng akan dibawa ke Mahkamah Tinggi
PUTRAJAYA – Pasukan peguam bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan dibawa ke Mahkamah Tinggi sebagai saksi dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memberitahu pemberita, Roger yang sebelum ini sudah disabitkan kesalahan di New York berhubung skandal kewangan 1MDB dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun, akan ditemubual pihaknya terlebih dulu jika dia (Roger) bersedia berbuat demikian.
Jelas Muhammad Shafee, keterangan Roger akan dapat mendedahkan lebih banyak bukti penting dalam merungkai skandal kewangan 1MDB.
Pembelaan boleh menemubualnya selama setengah jam atau sejam (jika dibenarkan Roger) dan akan terus memanggilnya sebagai saksi.
“Mungkin beliau (Chong Hwa) boleh menyatakan yang Najib tidak bersalah… kita tidak tahu.
“Bagi kes kami (pembelaan) ialah mengapa Najib seorang sahaja yang berada dalam kandang tertuduh?
“Sedangkan mereka daripada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM), dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, itu sahaja, tidak lebih dari itu,” katanya, di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi hari ini bersidang bagi mendengar perbicaraan bela diri Najib terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Untuk rekod, Roger dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.
Ketua Hakim, Margo Brodie memerintahkan Chong Hwa diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk dikembalikan di bawah tahanan pihak berkuasa Malaysia.
Menurut surat daripada Jabatan Kehakiman AS kepada Brodie, sebaik siasatan di Malaysia selesai, lelaki itu dikehendaki dibawa kembali ke AS untuk menjalani hukumannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








