Kes 1MDB: Mahkamah Tinggi dapati Jho Low proksi Najib
PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mendapati terdapat bukti bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, bertindak sebagai proksi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam urusan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, adalah di luar kebiasaan untuk pengurusan tertinggi 1MDB melaksanakan arahan Jho Low yang membabitkan jumlah dana yang besar sekiranya mereka tidak mempercayai bahawa arahan tersebut datang daripada Najib yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Menurut beliau, pengurusan tertinggi 1MDB melaksanakan setiap arahan yang disampaikan oleh Jho Low atas kepercayaan tulen bahawa ahli perniagaan berkenaan bertindak atas arahan tertuduh.
“Adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi untuk beranggapan pengurusan tertinggi 1MDB akan mematuhi arahan Jho Low melainkan mereka benar-benar percaya bahawa beliau bertindak bagi pihak tertuduh,” katanya ketika membacakan penghakiman kes berkenaan di mahkamah tinggi di sini hari ini.
Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi bagi mendengar kes berkaitan 1MDB itu.
Beliau turut merujuk kepada bukti hubungan antara Najib dan Jho Low, termasuk gambar yang diambil semasa percutian, yang menurut mahkamah menunjukkan hubungan mereka bukan sekadar kebetulan.
“Hakikat bahawa Najib dan Jho Low saling mengenali bukanlah suatu kebetulan semata-mata.
“Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar yang diambil ketika percutian,” katanya lagi.
Tambah beliau, saksi-saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa e-mel, perbincangan serta arahan yang dikemukakan oleh Jho Low menjadi sebahagian penting dalam aliran kerja operasi 1MDB.
Keadaan itu, membawa kepada pelaksanaan transaksi utama termasuk usaha sama PetroSaudi, pemerolehan aset tenaga serta pengurusan dana syarikat berkenaan.
Mahkamah kemudiannya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat dan prosiding dijadualkan bersambung semula pada jam 3 petang.
Sebelum itu, Sequerah berkata, mahkamah memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah jam lagi untuk menyelesaikan pembacaan penghakiman secara menyeluruh.
Najib, 72, didakwa pada tahun 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB.
Perbicaraan kes tersebut bermula pada tahun berikutnya.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan salah guna kuasa dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 30 Oktober 2024, Najib diarahkan membela diri selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








