Kerajaan komited perkasa ekonomi digital dan AI — Gobind
KUALA LUMPUR – Kerajaan menunjukkan komitmen jelas dalam memperkukuh ekonomi digital negara menerusi pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro (MSME).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai dasar dan langkah proaktif termasuk insentif potongan cukai 50 peratus bagi PKS dan MSME yang menggunakan produk kecerdasan buatan (AI) serta perluasan insentif kepada sektor keselamatan siber yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
“Langkah ini membuktikan kerajaan serius memastikan setiap perniagaan, besar atau kecil, dapat bergerak ke arah pendigitalan secara selamat dan berdaya saing.
“Ia juga menandakan kesungguhan kerajaan dalam mempercepatkan transformasi digital selaras dengan matlamat AI Nation 2030,” katanya pada sesi forum iFuture 2025 Ministerial Forum: The Impact of Artificial Intelligence on the Future Workforce hari ini.
Gobind berkata, kerajaan melihat AI bukan sekadar alat teknologi, tetapi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Ekonomi digital Malaysia kini menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023, dijangka meningkat kepada 25.5 peratus tahun ini dan disasarkan mencapai 30 peratus menjelang 2030.
“Ini bukti jelas hala tuju kerajaan yang konsisten dan berpaksikan inovasi,” katanya lagi.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan memberi tumpuan kepada sektor PKS dan MSME yang merangkumi 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan negara.
“Jika 10 hingga 20 peratus PKS dan MSME berjaya mengadaptasi teknologi digital dan AI, kesannya terhadap ekonomi negara amat besar.
“Sebab itu kerajaan memperkenalkan pelbagai program di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) seperti eUsahawan dan siri jelajah kesedaran bagi memperkukuh pemahaman usahawan terhadap potensi AI,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan membina keyakinan rakyat terhadap penggunaan teknologi digital melalui strategi baharu Digital Trust and Data Safety yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Kerajaan tidak mahu rakyat hanya menggunakan teknologi tanpa kawalan. Kita mahu mereka faham kepentingan keselamatan data dan memastikan maklumat yang digunakan adalah sahih.
Inilah asas kepada ekonomi digital yang mampan dan boleh dipercayai,” jelasnya lagi.
Gobind turut memberi peringatan bahawa teknologi seperti AI perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.
“Sama ada dalam bidang undang-undang, kesihatan, pelaburan atau pertanian, keputusan yang dibuat berdasarkan data yang tidak tepat boleh membawa implikasi besar.
“Oleh itu, ketepatan dan keaslian data menjadi tumpuan utama kerajaan,” katanya lagi.
Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap pendigitalan dan AI bukan sekadar janji, tetapi diterjemahkan melalui dasar, insentif dan strategi yang nyata.
“Apa yang kita lakukan hari ini bukan hanya untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi untuk membina asas kukuh kepada ekonomi masa depan yang lebih pintar, selamat dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Forum itu turut menampilkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dengan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Azman Mokhtar sebagai moderator.
Forum berkenaan menjadi medan penting yang menghimpunkan pelajar, pemimpin, tokoh industri serta akademik bagi membincangkan peranan AI terhadap masa depan tenaga kerja dan hala tuju ekonomi digital Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
