Kementerian Komunikasi perluas reformasi pentadbiran, kurangkan birokrasi
PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi kini giat memperhebat pelaksanaan reformasi pentadbiran dengan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi dalam kalangan agensi di bawah seliaannya.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif tersebut selari dengan arahan kerajaan untuk melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur sedia ada, berikutan penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Jawatankuasa itu melihat kepada aspek-aspek pentadbiran yang memerlukan penambahbaikan termasuk dari sudut pengurangan kerenah birokrasi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Antara kejayaan awal yang dapat dilihat hasil inisiatif tersebut ialah kejayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memendekkan tempoh pemprosesan skrip produksi luar negara daripada 30 hari kepada hanya tujuh hari.
“Ini satu pencapaian yang membanggakan, khususnya bagi FINAS kerana proses semakan skrip merupakan komponen penting sebelum aktiviti penggambaran dibenarkan di negara ini,” jelas beliau.
Tambahnya, pendekatan sama turut diambil oleh Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang sebelum ini dikritik kerana tempoh kelulusan yang panjang.
“Namun selepas pelancaran Garis Panduan PUSPAL (GPP) 6.0 pada April lalu, pelbagai urusan termasuk permohonan penganjuran konsert dan penggambaran oleh artis antarabangsa telah dipermudahkan,” katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa reformasi tidak akan terhenti di situ, sebaliknya akan diperluaskan lagi ke agensi-agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kementerian akan memastikan reformasi ini diteruskan. Saya akan minta supaya usaha mengatasi kerenah birokrasi ini dipanjangkan dan diperhebat, termasuk bagi urusan permohonan lesen di bawah MCMC,” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa pendekatan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap, responsif dan mesra pengguna.
“Kita mahu sistem penyampaian yang lebih pantas dan efisien, supaya urusan pelabur, penggiat industri dan masyarakat dapat dipermudah tanpa menjejaskan integriti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







