Katy Perry, Justin Trudeau dedah hubungan di Instagram
TOKYO – Penyanyi pop antarabangsa, Katy Perry dan bekas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, tampil mengesahkan hubungan mereka secara terbuka melalui satu hantaran di Instagram selepas beberapa bulan spekulasi.
Perry memuat naik sekeping foto menunjukkan mereka berdua tersenyum dengan berlaga pipi serta rakaman video menikmati sushi ketika berada di Jepun.
Momen itu menjadi sebahagian daripada siri gambar percutiannya di Tokyo yang dikongsi kepada 202 juta pengikutnya pada Sabtu lalu.
Turut mencuri perhatian ialah gambar mereka berpegangan tangan, sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa mereka kini rasmi sebagai pasangan kekasih.
Perry menulis kapsyen ringkas “Tokyo times on tour and more” disertai emoji hati merah dan bunga, manakala Trudeau pula sebelum itu berkongsi foto bersama Perry serta bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan isterinya, Yuko, di platform X.
“Seronok bertemu anda @kishida230. Katy dan saya gembira dapat meluangkan masa bersama anda dan Yuko,” tulis Trudeau ketika memuat naik semula foto berkenaan.
Pengumuman “hard launch” pasangan itu pantas mengundang pelbagai reaksi dalam talian.
Seorang peminat menulis di Instagram: “OH CANADA!!! RESMI SUDAH!!!”
Pengikut lain turut berkongsi kegembiraan: “Kebahagiaan kamu adalah kebahagiaan kami. Semoga berbahagia selalu!”
Walaupun kedua-duanya belum membuat kenyataan rasmi mengenai status hubungan mereka, muat naik terbaharu itu dilihat sebagai pengesahan tidak langsung selepas pelbagai khabar angin tercetus sejak Julai lalu.
Ketika itu, Perry dan Trudeau dilihat menikmati makan malam bersama di Montreal, sebelum Trudeau dirakam menyanyi bersungguh-sungguh lagu Firework ketika menghadiri konsert Perry dua hari kemudian.
Pada Oktober, mereka buat pertama kali muncul bersama secara terbuka apabila dirakam berpegangan tangan selepas menghadiri persembahan kabaret di Paris sempena sambutan ulang tahun Perry yang ke-41.
Trudeau mengetuai Kanada sebagai Perdana Menteri dari 2015 hingga 2025 sebelum meletakkan jawatan awal tahun ini.
Perry pula merupakan penyanyi yang pernah menerima 13 pencalonan Grammy dan terkenal dengan lagu California Gurls, Hot n Cold dan Roar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








