Kahwin lambat punca kadar kesuburan Selangor menurun – Anfaal
SHAH ALAM – Perkahwinan lewat dalam kalangan anak muda dikenal pasti sebagai antara punca utama penurunan kadar kesuburan di Selangor, sekali gus memberi kesan terhadap keseimbangan demografi negeri itu.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, kadar kesuburan jumlah (TFR) Selangor kini berada pada tahap 1.5 anak bagi setiap wanita, lebih rendah daripada paras penggantian penduduk 2.1 anak.

“Malah, jumlah kelahiran hidup di Selangor turut menurun sebanyak 7.2 peratus, daripada 90,118 pada 2021 kepada hanya 83,658 pada 2022.
“Keadaan ini membimbangkan kerana masyarakat kita sedang menua dan nisbah tanggungan akan meningkat,” katanya ketika berucap pada Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2025, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, trend kahwin lewat atau memilih untuk tidak berkahwin, selain kecenderungan pasangan muda untuk mempunyai anak sedikit atau tidak beranak langsung merupakan faktor yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini.
Menurutnya, keputusan itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya ke atas anak muda kerana ia hanya simptom kepada punca sebenar yang lebih mendasar, antaranya beban kos sara hidup, gaji tidak seiring inflasi, pekerjaan tidak stabil serta kekurangan perlindungan sosial.

“Jika kos kehidupan terlalu tinggi dan pekerjaan tidak stabil, insentif perkahwinan sahaja tidak cukup untuk mendorong pasangan menambah anak.
“Sebab itu kita perlu menggali akar masalah iaitu meningkatkan kestabilan ekonomi, menambah baik keseimbangan kerja dan kehidupan serta menyediakan ruang sosial yang sihat untuk generasi muda,” ujarnya.
Anfaal turut mengingatkan bahawa kemerosotan interaksi sosial, pengaruh media sosial, budaya drama romantik dan akses mudah kepada pornografi turut menyumbang kepada krisis hubungan atau dalam kalangan generasi muda yang akhirnya menjejaskan kadar perkahwinan dan kesuburan.
“Dasar lapuk tidak akan menyelesaikan cabaran baharu. Kita perlukan dasar realistik, berkesan dan mampan yang benar-benar menyentuh akar punca masalah ini,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


