BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan rayuan Syed Saddiq diumum Rabu Ini

PUTRAJAYA – Nasib bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ditentukan Rabu ini apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuannya terhadap sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin telah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum menetapkan tarikh penghakiman tersebut, memetik laporan Kosmo! Online.

Ahli Parlimen Muar berusia 33 tahun itu diwakili oleh barisan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diketuai Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Farah Ezlin Yusop Khan selaku responden.

Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Jika gagal membayar denda tersebut, beliau berdepan tambahan hukuman penjara selama empat tahun.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang mendengar kes itu ketika di Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa tindakan Syed Saddiq mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu kesalahan pecah amanah.

Tambahan pula, perbuatan menyimpan dan membahagikan wang tersebut di luar lokasi rasmi Armada menimbulkan inferens berniat jahat.

Berikut adalah pecahan hukuman yang dikenakan:

  • Pecah amanah: Tiga tahun penjara dan satu sebatan.
  • Salah guna harta: Dua tahun penjara dan satu sebatan.
  • Dua pertuduhan pengubahan wang haram: Masing-masing dua tahun penjara dan denda RM5 juta.

Bagaimanapun pada 9 November 2023, Hakim Azhar membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

BACA : Keputusan rayuan Syed Saddiq diketahui 25 Jun ini

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali untuk melakukan pecah amanah terhadap dana RM1 juta milik Armada di CIMB Bank, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua melibatkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 untuk kegunaan peribadi antara 8 hingga 21 April 2018. Ia dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram melibatkan pemindahan masing-masing RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di Johor Bahru pada Jun 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Mahkamah dijangka memberikan keputusan sama ada untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut atau mengekalkannya pada sesi prosiding rayuan Rabu ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button