Jasa Bung Moktar akan terus dihargai, terpahat dalam ingatan – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Perdana Menteri berkata, sebagai seorang sahabat lama, Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional Sabah (BN) merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag merupakan tokoh yang tegas, berpendirian dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Jasa serta komitmen beliau dalam arena politik, khususnya terhadap rakyat Sabah dan negara, akan terus dihargai dan terpahat dalam ingatan.
“Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya serta ditempatkan pada kedudukan yang istimewa di sisi-Nya, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun, kurang seminggu selepas dipilih untuk penggal kedua sebagai ADUN Lamag.
Ahli Parlimen Kinabatangan selama enam penggal itu merupakan Pengerusi UMNO Sabah dan BN Sabah.
Terdahulu, anaknya Naim Kurniawan Moktar mengesahkan bahawa Bung berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah.
Dipilih buat pertama kali pada 1999, Bung telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di bawah enam Perdana Menteri berbeza iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








