Janna Nick bangga jadi anak kampung, belajar di London bukan alasan lupa asal usul
KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Janna Nick menegaskan pengalaman melanjutkan pengajian di London, United Kingdom tidak pernah mengubah pendiriannya untuk terus berbangga dengan latar belakang sebagai anak kampung.
Menurut Janna, asal usulnya merupakan sebahagian daripada identiti diri yang akan terus dihargai, meskipun kini mempunyai pengalaman menimba ilmu di luar negara.
Menerusi perkongsian di Threads baru-baru ini, pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu turut memberikan respons terhadap tanggapan bahawa seseorang yang belajar di luar negara akan meninggalkan identiti asalnya.
“Ya, saya budak kampung dan saya bangga menjadi budak kampung. Ia sebahagian daripada identiti saya dan saya akan sentiasa menerimanya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Janna turut menyatakan keterujaan untuk meluangkan lebih banyak masa bersama masyarakat kampung bagi mendengar serta memahami kisah kehidupan mereka dengan lebih dekat.
Katanya, peluang melanjutkan pengajian di London bukan bermakna seseorang perlu melupakan latar belakang atau mengubah dirinya demi menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Belajar di London tak bermakna saya perlu tinggalkan siapa diri saya,” kongsinya.
Perkongsian itu mendapat sambutan positif daripada pengguna media sosial yang bersetuju bahawa kejayaan dalam pendidikan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang berasa malu dengan asal usul sendiri.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk kebanggaan terhadap identiti sebagai anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, selain berkongsi pengalaman masing-masing menuntut ilmu di luar negara.
“Proud to be budak kampung but well educated,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna pula menyifatkan sikap menghargai asal usul walaupun mempunyai pencapaian akademik tinggi sebagai sesuatu yang wajar dicontohi.
Untuk rekod, Janna sebelum ini dilaporkan menamatkan pengajian dalam jurusan Master of Arts in Filmmaking di United Kingdom.
Selepas melengkapkan pengajian berkenaan, beliau turut menyatakan minat untuk meneroka peluang baharu dalam bidang pengarahan, berbanding memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya sebagai pelakon di hadapan kamera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


