BERITA SEMASAPOLITIK

Jailani pertahan hadir program PAS ketika cuti sakit, dakwa demi bela rakyat

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mempertahankan tindakannya menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS Melaka walaupun tidak hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan alasan beliau masih dalam cuti sakit akibat patah empat jari kaki.

Menurutnya, kehadiran ke program politik tersebut lebih penting kerana melibatkan usaha membela nasib rakyat serta menentang dasar kerajaan yang didakwanya menjejaskan kepentingan rakyat.

“Memang saya MC (cuti sakit) dua bulan, memang empat jari kaki saya patah dan memang saya tidak hadir sidang dewan.

“Ya, hadir di majlis pelancaran jentera pilihan raya PAS Melaka lebih penting. Semua usaha membela nasib rakyat dalam menentang dasar kerajaan yang merosakkan rakyat adalah lebih penting daripada hanya pandai ‘melalak’ dalam Dewan Rakyat.

“Patah seluruh badan dan terpaksa merangkak pun kami akan bangkit hadir demi Allah, rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan beliau yang disifatkan mengabaikan tanggungjawab pada rakyat.

Malah, Dr Akmal turut meminta Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihati Jailani.

adun rembia
Gambar Jailani ketika menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan pada kaki.

Menurut beliau, alasan cuti sakit yang diberikan tidak selari dengan tindakan beliau menghadiri ceramah parti, sedangkan sidang DUN yang berlangsung empat hari dalam tempoh empat bulan sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya.

Menjawab sindiran itu, Jailani mendakwa, kenyataan Dr Akmal hanya bertujuan mengalihkan perhatian selepas dilabel sebagai “budak catur” oleh Sanusi.

BACA JUGA:

Dr Akmal selar ADUN Rembia ponteng sidang DUN, hadir ceramah PAS walau masih MC

“Kata mahu meletak jawatan sebagai EXCO, tetapi baru-baru ini dalam media sosial ada kenyataan daripada Ketua Menteri yang menyatakan beliau kekal sebagai EXCO. Apa ini kalau bukan hipokrasi dan retorik sahaja?

“Beliau berlagak seperti ‘anjing salak bukit’ yang bunyinya kuat tetapi tidak membawa kesan kerana ada tuannya yang menyuruh dia menyalak.

“Beliau hanya hebat dalam Dewan Rakyat, tetapi hakikatnya gagal dalam tugas sebagai EXCO. Mana beras Melaka dalam pasaran yang harganya sepatutnya rendah dan boleh dibeli di mana-mana oleh rakyat Melaka?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa sidang DUN sering mensabotajnya apabila cuba membangkitkan isu yang tidak disenangi kerajaan negeri.

“Apabila saya bercakap mengenai perkara-perkara yang kerajaan tidak suka, hampir semua ADUN kerajaan akan mengganggu saya, memaki hamun saya dan dewan akan mematikan mikrofon saya.

“Lihat sahaja rakaman sidang dewan yang lepas. Apabila saya membawa isu salah laku seorang EXCO kerajaan negeri yang tular bersama laporan polis di media sosial yang disiarkan secara langsung, sepanjang saya bercakap, audio saya dimatikan.

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang takut dengan bayang-bayang dosanya sendiri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button