AGAMABERITA SEMASA

Isu rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani berlandaskan undang-undang

KUALA LUMPUR – Isu pembinaan rumah ibadat tanpa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa perlu ditangani secara berfakta, berlandaskan perundangan serta dipantau secara berterusan bagi mengelakkan tercetusnya keresahan awam dan gangguan terhadap keharmonian masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menjunjung kasih serta menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, pendirian tersebut menegaskan kepentingan kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik serta keperluan memelihara keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Setiap pembinaan rumah ibadat hendaklah melalui proses permohonan yang sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Perkara ini penting bagi memastikan perancangan pembangunan berjalan secara teratur serta selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga : 687 kuil Hindu dibina tanpa kebenaran di Selangor
Dr Zulkifli menegaskan, sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran tidak wajar ditangani secara emosi atau spekulatif, sebaliknya perlu berpaksikan fakta dan lunas undang-undang.

“Pendekatan berterusan dan pemantauan rapi amat diperlukan supaya isu ini tidak dieksploitasi sehingga menimbulkan salah faham, ketegangan antara kaum atau menjejaskan keamanan awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang serta mematuhi saluran dan prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi menjaga keharmonian, kestabilan dan kepentingan bersama negara.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan.

Baginda juga berkenan dengan pendirian dan ketegasan Kerajaan Persekutuan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembinaan rumah ibadat yang dibina tidak mengikut undang-undang.

Titah Sultan Sharafuddin, pendirian tegas itu selari dengan prinsip yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan tadbir urus yang baik.

Semalam, ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button