Isu Dasar Satu China bukti PAS belum bersedia jadi kerajaan – Aziz Bari
KUALA LUMPUR – PAS perlu berhenti bermain dengan retorik dan teori mudah sekiranya mahu dilihat sebagai sebuah kerajaan dalam penantian yang kredibel, kata Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari.
Aziz berkata, kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Haim Hilman Abdullah berhubung Dasar Satu China yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan PAS, khususnya Perikatan Nasional (PN), masih belum layak atau bersedia untuk menggantikan kerajaan perpaduan.
Menurutnya, PAS dilihat lebih berminat untuk mendapatkan kuasa tanpa memahami persediaan yang perlu dilakukan, selain gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, khususnya dalam konteks sistem Westminster.
“Rutin PAS hari ini ialah menghentam PMX termasuk dalam isu-isu yang kecil dan remeh. Mereka lupa bahawa ‘government in waiting’ yang kredibal ialah pasukan yang siap dengan dasar-dasar penting termasuk dasar luar dan dasar domestik yang konsisten dan jelas.
“Selain itu PAS juga perlu menyiapkan jurucakap yang keseluruhannya membentuk sebuah ‘shadow cabinet’.
“Ini semua tidak ada dan Presiden PAS bahkan tidak berasa bersalah untuk terus makan gaji buta dengan ponteng sidang parlimen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas mengenai Dasar Satu China, Aziz berkata, Haim Hilman didakwa tidak memahami konteks kenyataan Perdana Menteri ketika ditemu bual Al Jazeera.
“Berbalik kepada Dasar Satu Cina itu AJK PAS Pusat tersebut jelas tidak faham konteks dalam mana PMX menyebut perkara tersebut, yakni wawancara dengan Al Jazeera.
“Apa pun PMX berbicara dengan jelas, berbeza dengan Presiden Pas yang sering salah tanggapan; lain yang ditanya lain yang dijawab.
“Kebimbangan yang disebut oleh AJK PAS Pusat itu adalah kebimbangan yang tidak berasas, sesuatu yang menggambarkan anggota exco kerajaan Kedah ini begitu dangkal dalam memahami realiti geopolitik yang ada,” katanya.
Beliau berkata, pendirian Malaysia dalam pertikaian China dan Taiwan bukan perkara baharu kerana ia sudah dinyatakan sejak pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya, pentadbiran berkenaan juga merupakan kerajaan Perikatan yang dipimpin UMNO.
Dalam pada itu, Aziz berkata, PAS atau PN perlu menubuhkan kabinet bayangan supaya rakyat dapat melihat gambaran kerajaan yang bakal dibentuk sekiranya gabungan itu memperoleh mandat untuk mentadbir negara.
“Dengan adanya kabinet bayangan yang dipimpin oleh Ketua Pembangkang itu rakyat akan dapat melihat wawasan yang jelas dan boleh dilaksanakan. Itu saja caranya untuk mempastikan PAS dan PN tidak terus bermain dengan retorik dan teori yang simplistik.
“Sekiranya PAS gagal berbuat demikian kita boleh anggap bahawa Pas hanya bermimpi di siang hari,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








