‘Ini kisah perjalanan kami yang ditandai ketabahan, keazaman dan harapan’ – Xanana Gusmao
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao menyifatkan kemasukan rasmi negaranya sebagai anggota ke-11 ASEAN sebagai satu detik bersejarah yang membuktikan ketabahan dan keazaman rakyatnya dalam menempuh perjalanan panjang menuju integrasi serantau.
Gusmao berkata, pencapaian itu bukan sahaja lambang kejayaan diplomatik tetapi juga simbol kekuatan dan harapan rakyat Timor-Leste.
“Hari ini sejarah tercipta. Timor-Leste diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11.
“Bagi rakyat kami, ini bukan sekadar impian yang direalisasikan tetapi satu penegasan terhadap perjalanan kami yang ditandai dengan ketabahan, keazaman dan harapan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini,
Menurut beliau, penyertaan itu turut memperkukuh visi ASEAN sebagai keluarga negara yang bersatu, berpegang kepada nilai dan aspirasi bersama serta berusaha membina masa depan yang makmur dan damai.
Gusmão berkata, permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN telah dibuat sejak 2011, dan negara itu telah melalui proses persediaan panjang termasuk memperkukuh institusi, menambah baik dasar serta meningkatkan keupayaan pentadbiran berpandukan bimbingan dan sokongan negara anggota.
“Penyertaan Timor-Leste ini adalah bukti semangat rakyat kami.
Demokrasi muda yang lahir daripada perjuangan kini melangkah ke era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam rantau paling dinamik di dunia,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kepercayaan serta sokongan padu sepanjang proses tersebut.
Gusmao betkata, Timor-Leste menyertai ASEAN dengan penuh rendah diri dan semangat kebersamaan, mendukung nilai teras blok itu termasuk saling menghormati, perpaduan dalam kepelbagaian serta kerjasama aman.
“Kami berjanji akan menjadi ahli yang bertanggungjawab, membina dan aman.
Kami akan bekerjasama rapat dengan semua negara anggota bagi memastikan rantau ini kekal stabil, terbuka dan makmur,” katanya lagi.
Pada majlis bersejarah itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, menyerahkan dokumen pengisytiharan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, disaksikan Gusmão yang kelihatan sebak dan menitiskan air mata kegembiraan.
Gusmao berkata, penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN bukan penamat kepada perjuangan negara itu, sebaliknya membuka lembaran baharu bagi mengukuhkan kedudukan mereka di rantau ini.
“Bersama-sama, kita akan memajukan Visi Komuniti ASEAN 2045 – ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, dengan Timor-Leste sebagai penyumbang aktif,” katanya lagi.
Timor-Leste kini secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, sekali gus menandakan kejayaan penting bagi negara muda itu dan memperkukuh kesepaduan blok serantau Asia Tenggara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















