BERITA SEMASA

JPN akan siasat individu guna kad pengenalan orang lain beli minyak bersubsidi

KOTA BHARU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyiasat individu yang dikesan menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk membeli bahan api bersubsidi di stesen minyak di seluruh negara.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, kesalahan itu membabitkan penggunaan tanpa kebenaran atau kecurian kuota bahan api di bawah mekanisme subsidi.

Perbuatan sedemikian, katanya, merupakan pelanggaran serius di bawah peraturan sedia ada dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

“Siasatan akan dijalankan terhadap individu yang ditahan kerana menyalahgunakan atau memiliki MyKad orang lain secara tidak sah bagi mendapatkan petrol dan diesel,” katanya, hari ini.

Di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, katanya, adalah menjadi satu kesalahan untuk memegang atau menyimpan MyKad milik orang lain tanpa kebenaran yang sah.

Jika sabit kesalahan, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau kemudaian menegaskan, hanya pegawai yang diberi kuasa seperti polis dan pegawai JPN dibenarkan memegang MyKad orang lain dalam keadaan tertentu.

Difahamkan, beberapa kes membabitkan pemandu yang didapati memiliki kad pengenalan milik orang lain ketika membeli bahan api direkodkan termasuk di Kelantan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan dokumen pengenalan diri, sambil memberi amaran bahawa penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan bagi membendung kesalahan itu.

Terdahulu, Polis Kelantan berjaya menahan seorang lelaki kerana dipercayai menggunakan kad pengenalan milik empat individu untuk membeli lebih 100 liter petrol, 1 April lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button