PENDAPATRENCANA

Impak gelombang tarif AS: Tenaga kerja Malaysia di persimpangan globalisasi

Oleh PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

LANGKAH Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif ke atas barangan import termasuk dari negara-negara Asia seperti China, Vietnam dan Malaysia telah mencetuskan gelombang kejutan dalam sistem ekonomi global.

Malaysia yang bergantung kepada sektor eksport sebagai enjin pertumbuhan utama turut terkena tempiasnya.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai eksport negara ke (AS) mencecah sekitar RM142 bilion pada tahun 2023 melibatkan terutamanya barangan elektrik dan elektronik, getah, tekstil serta produk berasaskan kayu.

Namun, dengan pelaksanaan tarif baharu oleh Washington yang bertujuan melindungi pengeluaran domestik mereka, permintaan terhadap produk Malaysia akan mula merosot, sekali gus memberi kesan langsung terhadap kestabilan organisasi perniagaan dan peluang pekerjaan dalam negara.

Pada tahun 2023, nilai eksport negara ke Amerika Syarikat mencecah sekitar RM142 bilion melibatkan barangan elektrik dan elektronik, getah, tekstil serta produk berasaskan kayu.

Dari sudut ekonomi, kesan tarif ini memaksa syarikat-syarikat Malaysia menyusun semula strategi operasi mereka termasuk pemindahan sebahagian operasi ke pasaran lain, pengurangan saiz tenaga kerja atau memperlahankan kadar pengeluaran.

Syarikat kecil dan sederhana (PKS) paling terkesan apabila mereka kekurangan dana untuk beralih arah dengan cepat.

Sebagai langkah menjimatkan kos, banyak syarikat mengambil tindakan membekukan pengambilan pekerja, memotong elaun dan faedah, malah ada yang terpaksa memberhentikan pekerja.

Data daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa kadar pengangguran yang menurun kepada 3.3 peratus pada pertengahan 2023 telah kembali meningkat kepada 3.6 peratus menjelang suku pertama 2024, terutama dalam sektor pembuatan dan logistik yang sangat terdedah kepada perubahan dasar perdagangan antarabangsa.

Secara sosialnya, tekanan ekonomi ini memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan emosi pekerja.

Ketidaktentuan pekerjaan menyebabkan ramai yang mula hilang keyakinan terhadap kestabilan kerjaya, lantas menjejaskan produktiviti dan motivasi di tempat kerja.

Golongan muda, graduan baharu serta pekerja berkemahiran rendah antara yang paling rentan.

Malah, peningkatan kes ‘brain drain’ turut dilaporkan, di mana ramai profesional muda memilih untuk berhijrah ke luar negara yang menawarkan peluang kerjaya yang lebih stabil dan berdaya saing.

Perkara ini tentunya membimbangkan kerana ia boleh mengurangkan kapasiti tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam negara.

Dari sudut kerjaya dan pembangunan tenaga kerja pula, pengurus sumber manusia kini berhadapan cabaran yang lebih besar daripada sekadar menguruskan gaji dan kebajikan.

Kenaikan tarif Amerika Syarikat bukan sahaja mencabar landskap ekonomi Malaysia, tetapi turut mengubah paradigma pengurusan sumber manusia secara menyeluruh.

Mereka perlu menjadi perancang strategik organisasi, memastikan bakat dikekalkan serta memastikan pekerja diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan beradaptasi dengan perubahan pasaran.

Latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) kini menjadi keperluan mendesak.

Sebagai contoh, pekerja dalam sektor pembuatan yang terjejas akibat pengurangan eksport perlu diberi latihan dalam bidang digital, automasi atau logistik tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar.

Dari segi perundangan, perubahan drastik dalam struktur pekerjaan turut membawa implikasi besar.

Tindakan sesetengah majikan menukar status pekerja tetap kepada pekerja kontrak atau bebas (gig economy) membuka ruang kepada ketidaktentuan hak dan faedah pekerjaan.

Hal ini menimbulkan persoalan terhadap perlindungan undang-undang dan hak asasi pekerja.

Oleh itu, pengurus sumber manusia perlu lebih teliti dalam memastikan pematuhan terhadap Akta Kerja 1955 serta prinsip-prinsip Buruh Antarabangsa (ILO) agar tidak berlaku eksploitasi atau pelanggaran hak pekerja.

Dalam jangka panjang, reputasi syarikat dan kepercayaan pekerja sangat bergantung kepada sejauh mana organisasi bertindak secara beretika dan bertanggungjawab.

Kesimpulannya, impak tarif Amerika Syarikat bukan sahaja mencabar landskap ekonomi Malaysia, tetapi turut mengubah paradigma pengurusan sumber manusia secara menyeluruh.

Para pengurus HR kini perlu melangkaui peranan tradisional mereka dan menjadi agen perubahan yang bersedia menghadapi dunia kerja yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Melalui pendekatan strategik, inklusif dan berorientasikan pembangunan manusia, Malaysia masih mampu bangkit dan menyesuaikan diri dengan cabaran perdagangan global masa kini.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

PROF MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button