Ibu tunggal dan teman lelaki ditahan, disyaki dera bayi 15 bulan hingga maut
ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal dan teman lelakinya ditahan polis selepas disyaki mendera bayi perempuan berusia 15 bulan sehingga maut dalam kejadian di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong mengesahkan penahanan pasangan terbabit.
Beliau berkata, mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini untuk permohonan reman bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut sumber, kejadian terbongkar apabila Hospital Tampin menerima kehadiran bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 11 malam, selepas dibawa oleh ibunya yang berusia 24 tahun.
Pemeriksaan awal doktor mendapati kesan lebam pada perut, belakang badan dan pada kawasan dubur mangsa sebelum laporan polis dibuat.
“Siasatan awal mendapati wanita terbabit membawa anak tunggalnya dari Kampung Anak Air Durian Daun Pondoi, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya yang berusia 20 tahun, seorang pemain muzik, kira-kira pukul 6.30 petang semalam,” kata sumber, memetik laporan Harian Metro.
Difahamkan, wanita itu meninggalkan anaknya bersama suspek lelaki untuk membeli makanan dan kembali menidurkan bayi tersebut pada jam 10 malam. Teman lelakinya pula dikatakan sedang menguruskan kedai.
Namun sekitar 10.30 malam, wanita itu mendakwa anaknya tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.
Pasangan terbabit kemudian membawa bayi tersebut ke Hospital Tampin untuk rawatan, namun doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia akibat kecederaan dialami.
Mayat bayi berkenaan kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
