BERITA SEMASA

Hujan lebat berterusan tahap buruk diramal landa Sabah hingga esok – MetMalaysia

PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk diramal melanda Sabah membabitkan kawasan Telupid, Beluran dan Sandakan hingga esok.

Menurut MetMalaysia dalam satu kenyataan, hujan berterusan tahap waspada turut diramal di Johor bermula esok hingga Ahad membabitkan kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu hingga Sabtu ini manakala di Sabah melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat hingga esok.

Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Kategori Ketiga melibatkan angin kencang dan laut bergelora di empat negeri hingga Ahad ini.

“Kawasan di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan dijangka akan mengalami kejadian angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 kilometer sejam (kmj) dengan ketinggian ombak hingga 4.5 meter dijangka berlaku.

“Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata kenyataan itu.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora (Kategori Pertama) turut dikeluarkan bagi kawasan perairan Sarawak dengan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kmj dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dan dijangka berlaku hingga Ahad ini.

Keadaan tersebut berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras air laut yang dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan hingga Ahad dan keadaan itu berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button