BERITA SEMASA

Hotel dikaitkan dengan iklan ‘mesra gay’ dibenar beroperasi semula

MELAKA – Sebuah hotel di Malim Jaya yang sebelum ini dikaitkan dengan iklan ‘mesra gay’ dibenarkan beroperasi semula selepas pihak pengurusan hotel mematuhi semua syarat yang ditetapkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, pihak terbabit telah hadir ke MPHTJ selepas dipanggil bagi memberi penjelasan selain menurunkan iklan berkenaan lebih awal sebelum diarahkan berbuat demikian.

Selain itu, katanya, MPHTJ turut mengenakan beberapa syarat tambahan sebelum ia dibenarkan beroperasi semula, lapor SH Online.

“Selepas mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan, kita telah meluluskan semula lesen berkenaan.

“Bagaimanapun, pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramadan Berkat MPHTJ bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Melaka Mall pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie.

Sapiah berkata, pemilik hotel memaklumkan kecuaian iklan ‘mesra gay’ itu berlaku susulan penggunaan khidmat dari luar negara untuk mengendalikan laman sesawang berkenaan.

“Walau apa pun alasannya, kita telah meminta supaya ia diturunkan dan pihak MPHTJ sendiri membuat semakan bagi memastikan arahan itu dipatuhi.

“Setakat ini, hotel terbabit beroperasi seperti biasa dan iklan kontroversi itu telah dipadamkan, selain pemantauan berterusan akan dilakukan,” katanya lagi.

Januari lalu, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat dakwaan terhadap hotel berkenaan yang didakwa mempromosikan konsep ‘mesra gay’ selepas isu itu tular di media sosial.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran pendakwah bebas, Firdaus Wong yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.

Susulan itu, MPHTJ bersama JAIM telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit dan mengarahkan operasinya ditutup sehingga pemilik tampil memberikan penjelasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button