79 hotel tawar diskaun hingga 70 peratus sempena sambutan Hari Pekerja, VM2026
KUALA LUMPUR – Sebanyak 79 hotel di seluruh negara menawarkan diskaun penginapan sehingga 70 peratus bersempena sambutan Hari Pekerja dan Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei ini.
Tourism Malaysia berkata, promosi tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta merancakkan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Tempahan boleh dibuat bermula 29 April dengan pelbagai pakej ditawarkan termasuk kadar bilik istimewa dan pakej gabungan yang menarik.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan perbelanjaan pelancongan selain menggalakkan pergerakan pelawat ke destinasi utama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerjasama antara hotel dan sektor pelancongan mencerminkan pendekatan strategik dalam memperkukuh ekosistem industri serta memperluas manfaat kepada pemain industri melalui penganjuran acara berskala besar.
“Pelawat boleh menikmati tawaran berkenaan dengan menggunakan kod promosi VM2026TWD ketika membuat tempahan melalui laman web rasmi hotel atau secara terus dengan hotel terlibat,” katanya lagi.
Festival selama tiga hari itu bakal menampilkan gabungan muzik, budaya dan gaya hidup kontemporari, sekali gus menjadi platform unik untuk pelawat antarabangsa merasai kepelbagaian serta keunikan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








