Himpunan Melayu Berdaulat tiada asas – DAPSY
KUALA LUMPUR – DAP Socialist Youth (DAPSY) menyifatkan cadangan penganjuran Himpunan Melayu Berdaulat sebagai tidak berasas dan hanya bertujuan untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar berkata, penganjuran himpunan itu dilihat sebagai cubaan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, meskipun kerajaan ketika ini berada dalam keadaan stabil dan sedang giat memacu pembangunan serta ekonomi negara.

“Kerajaan Madani hari ini sedang bekerja keras untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Tiba-tiba ada pula usaha untuk menganjurkan satu himpunan atas alasan kononnya kerajaan tidak menjaga kepentingan Melayu. Ia sangat tidak masuk akal dan tidak berasas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, hak untuk berhimpun memang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak wajar digunakan untuk membangkitkan isu yang tidak benar atau tidak berfakta.
“Saya sendiri tertanya-tanya, apakah ada hak Melayu yang telah dihakis di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ini? Adakah terdapat peruntukan dalam Perlembagaan berkaitan hak keistimewaan Melayu atau kedudukan agama Islam yang telah dipinda atau dimansuhkan?
“Jawapannya, tiada. Maka jelas bahawa himpunan ini hanya didorong oleh kepentingan kelompok tertentu yang mungkin tidak berpuas hati kerana kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi,” katanya lagi.
Syaheera turut mengaitkan usaha menganjurkan himpunan itu sebagai reaksi kepada kegagalan naratif “UMDAP” yang dimainkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning baru-baru ini, apabila kerjasama antara UMNO dan DAP dijadikan modal politik oleh pihak lawan.
“Rakyat sudah muak dengan politik perpecahan dan perkauman. Sebab itu calon Kerajaan Perpaduan menang bergaya dalam PRK Ayer Kuning. Mereka mahukan kestabilan dan perpaduan, bukan retorik lama yang memecah-belahkan,” katanya lagi.
Tambah beliau, pentadbiran kerajaan Madani kini memperlihatkan komitmen jitu melalui barisan Kabinet yang bekerja keras untuk semua golongan masyarakat, dan sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan negara tidak harus digalakkan.
“Kerajaan hari ini bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


