BERITA SEMASA

Hasnah dilantik memangku jawatan Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kini memangku jawatan sebagai Ketua Hakim Negara susulan persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat, semalam.

Pelantikan sementara itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan selepas jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan kini kosong.

Sebelum ini, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim turut menamatkan perkhidmatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan selepas mencapai umur persaraan wajib.

Menurut kenyataan daripada pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Hasnah akan menjalankan semua tanggungjawab sebagai Ketua Hakim Negara berdasarkan Artikel 131A Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Hasnah yang dilantik sebagai Ketua Hakim Malaya pada 12 November 2024 merupakan individu ketiga tertinggi dalam hierarki badan kehakiman negara.

Beliau kini akan mengetuai pentadbiran Mahkamah Persekutuan dan dijangka memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) dalam masa terdekat untuk mempercepatkan proses pelantikan jawatan tertinggi yang masih kosong.

Langkah itu bagi memastikan kelangsungan sistem kehakiman negara terus berjalan lancar tanpa gangguan.

Tumpuan kini terarah kepada proses pemilihan Ketua Hakim Negara baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button