BERITA SEMASA

Harga diesel, RON95 tanpa subsidi naik 5 sen

PUTRAJAYA – Harga runcit RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing naik lima sen bagi tempoh 7 hingga 13 Mei ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, harga runcit bagi RON97 kekal RM4.90 seliter.

“Bagi tempoh 7 hingga 13 Mei ini, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM4.02 seliter berbanding RM3.97 seliter sebelum ini, manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.12 seliter minggu lalu,” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam tempoh sama, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu, meliputi RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

MOF turut memaklumkan, pelarasan harga itu adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.

“Harga petroleum masih kekal tinggi, melebihi USD100 setong, berikutan ketiadaan penyelesaian terhadap konflik di Asia Barat.

“Keadaan ini turut menjurus kepada kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, yang semakin meruncing akibat kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di rantau tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button