BERITA SEMASA

Guru PASTI tertakluk Perintah Gaji Minimum – Steven Sim

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di bawah kendalian PAS.

Steven berkata, guru di pusat itu seperti pekerja sektor swasta lain juga tertakluk kepada Perintah Gaji Minimum (PGM).

Jika berlaku sebarang pelanggaran terhadap isu gaji membabitkan guru PASTI, beliau menasihatkan perkara itu diadukan terus secara rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Mengenai isu guru PASTI yang dibangkitkan YB (Yang Berhormat) Setiawangsa, mengikut PGM pematuhan terhadap gaji minimum tetap terpakai kepada guru PASTI sama seperti pekerja sektor swasta yang lain.

“Justeru itu, sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap PGM 2024, saya sarankan perkara ini dilaporkan kepada pihak JTK untuk siasatan,” katanya memetik laporan BH online

ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) membangkitkan isu kadar gaji guru PASTI yang didakwa dibayar antara RM600 hingga RM700 sebulan, bukan saja tidak menepati PGM malah turut melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam itu membangkit isu berkenaan sewaktu menyertai perbahasan RMK13 pada 11 Ogos lalu.

Nik Nazmi turut mempersoalkan alasan PAS bahawa gaji mereka rendah kerana bekerja secara sukarela.

Mengikut statistik terbaru pada 2024, Nik Nazmi berkata, terdapat 2,497 PASTI di seluruh negara membabitkan 9,979 guru dan 125,065 pelajar.

Dalam perkembangan berasingan, Sim berkata, pihaknya memulakan langkah awal pada tahun ini dengan melaksanakan reformasi perundangan perburuhan yang turut meneliti dan mengkaji cadangan pindaan Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Beliau berkata semakan perundangan ini akan mengambil kira cadangan peningkatan umur pesaraan sehingga 65 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button