BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lagi insiden di Rinjani, pendaki Switzerland jatuh 375 meter

LOMBOK TIMUR – Gunung Rinjani sekali lagi menjadi tumpuan selepas seorang pendaki warga Switzerland cedera parah akibat terjatuh sejauh 375 meter di laluan curamnya, menjadikan kejadian ketiga melibatkan pendaki dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.

Menurut Ketua Seksyen Operasi SAR Mataram, Saidar Rahman, mangsa yang dikenal pasti sebagai Benedikt Emmenegger tergelincir ketika menuruni laluan ekstrem dari Pelawangan Sembalun menuju Danau Segara Anak kira-kira pukul 12.20 tengah hari, semalam.

“Ketika kejadian, beliau berada pada ketinggian 2,693 meter dari aras laut sebelum jatuh ke kawasan berbatu setinggi 2,318 meter,” jelasnya.

Mangsa yang memulakan pendakian sehari sebelum itu dilaporkan hilang imbangan ketika menuruni laluan licin dan curam dipercayai akibat faktor cuaca dan keadaan permukaan trek yang tidak stabil.

“Pasukan SAR yang terdiri daripada lima anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada juru arah yang mengiringi mangsa.

“Mereka berjaya menemuinya dalam keadaan sedar sekitar pukul 3.35 petang. Benedikt mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki, dipercayai patah dan telah dibawa keluar untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Gunung Rinjani yang berketinggian 3,726 meter merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan menjadi antara destinasi pilihan pendaki antarabangsa.

Laluan Pelawangan Sembalun khususnya dianggap mencabar berikutan cerun curam serta tahap risiko yang tinggi.

Pihak berkuasa mengingatkan agar setiap pendaki mengambil langkah berjaga-jaga dengan merujuk ramalan cuaca, memastikan tahap kecergasan mencukupi dan menggunakan khidmat penunjuk arah bertauliah sebelum memulakan pendakian, khususnya di laluan berisiko tinggi seperti Gunung Rinjani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button