BERITA SEMASA

Gerakan koperasi catat potensi jualan lebih RM21 juta

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di MITC, Ayer Keroh, Melaka dari 25 hingga 27 Julai lalu membuktikan potensi besar sektor koperasi dalam memperkukuh ekonomi komuniti tempatan.

Menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), jumlah jualan koperasi dan usahawan sepanjang tempoh penganjuran acara itu mencecah RM1.09 juta manakala potensi jualan yang diraih dianggarkan sebanyak RM21.71 juta.

Katanya, pencapaian itu memberi impak ekonomi yang signifikan kepada ekosistem koperasi, sejajar dengan tema sambutan HKN tahun ini “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (dua dari kiri) bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (tengah) ketika mengadakan lawatan ke reruai KUSKOP sempena pameran keusahawanan di Melaka, hari ini.

Sambutan yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik kehadiran 58,114 pengunjung, jauh melepasi sasaran awal 50,000 orang.

“Sambutan itu menunjukkan reaksi positif orang ramai terhadap usaha kerajaan merakyatkan koperasi melalui program-program komuniti khususnya melibatkan kumpulan B40,” menurut SKM dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, program MyFutureJobs On The Go juga berjaya menarik seramai 655 pencari kerja yang diberikan akses kepada peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor hasil kerjasama syarikat dan perusahaan yang mengambil bahagian.

Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal

Menurut kenyataan itu lagi, gerakan koperasi terus berkembang dengan kewujudan 16,284 koperasi di seluruh negara yang melibatkan pelbagai sektor ekonomi serta keanggotaan melebihi 7.2 juta orang.

“Jumlah ini hampir satu perlima daripada populasi negara dan mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap koperasi sebagai platform ekonomi yang inklusif dan lestari,” katanya.

Selain itu, jumlah perolehan sektor koperasi turut mencatat RM68.1 bilion manakala aset terkumpul mencecah RM173 bilion hasil penggembelengan modal syer dan yuran keanggotaan sebanyak RM18.3 bilion pada 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button