Garis panduan pemilikan Melayu dalam Projek Kg Sungai Baru telah ditetapkan – Dr Zaliha
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan garis panduan pemilikan Melayu dalam projek pembangunan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, telah ditetapkan dan kerajaan komited memastikan hak penduduk tidak terpinggir.
Malah, ketetapan itu juga telah dijelaskan berulang kali sebelum ini termasuk di Dewan Rakyat dengan mengambil kira garis panduan di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).
Beliau berkata, isu pembangunan semula kawasan itu yang kembali hangat selepas kekecohan tercetus ketika operasi pengosongan semalam, perlu diselesaikan dengan mengikut prosedur undang-undang yang betul.
“Jika tanah rizab Melayu, ia ditetapkan 100 peratus untuk Melayu. Bagi projek dengan DBKL, sekurang-kurangnya 70 peratus pemilikan Melayu, manakala projek swasta pula ditetapkan minimum 40 peratus.
“Kerajaan juga sedang berbincang dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Teraju untuk memastikan harga rumah mampu dimiliki oleh orang Melayu.
“Malah, reka bentuk projek turut mengekalkan identiti Melayu, contohnya dengan memasukkan elemen seni bina songket serta lif yang lebih besar bagi memudahkan urusan jenazah ketika berlaku kematian,” katanya pada sidang media khas di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.
Dr Zaliha menjelaskan, isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru telah berlarutan hampir sedekad sejak 2021, ketika ia di bawah pentadbiran bekas Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa.
Jelas beliau, Notis Seksyen 4 dikeluarkan pada Jun 2021, diikuti perwartaan Seksyen 8 hanya tiga hari kemudian.
“Walaupun terdapat pelbagai faktor kelewatan, yang penting sekarang ialah penyelesaian. Kita cuba letakkan diri kita dalam kasut penduduk yang sudah menunggu hampir 9 tahun.
“Bagaimana perasaan mereka? Kerajaan mengambil tanggungjawab memastikan isu ini dituntaskan,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 72 peratus penduduk telah bersetuju dengan pembangunan tersebut manakala 28 peratus lagi menentang, dengan kebanyakannya membangkitkan isu pampasan.
“Penduduk tidak menolak pembangunan, tetapi mempersoalkan pampasan. Jika ada yang tidak berpuas hati, saluran undang-undang melalui mahkamah adalah jalan yang tepat,” katanya sambil menegaskan kerajaan mendengar pandangan kedua-dua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








