Felda Bukit Easter dinobat Tanah Rancangan Terbaik 2024
KUALA LUMPUR – Felda Bukit Easter, Segamat, Johor melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Tanah Rancangan Felda Terbaik 2024 dalam majlis penuh gemilang sempena Sambutan Hari Felda dan Hari Peneroka 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Anugerah berprestij itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mengiktiraf komitmen berterusan komuniti peneroka dan pengurusan tanah rancangan berkenaan dalam memperkukuh kemajuan dan pembangunan Felda di peringkat nasional.

Pengurus Felda Rancangan Bukit Easter, Mohd Paiman Mohd Salim, ketika ditemui selepas majlis berkata kejayaan tersebut adalah hasil daripada kerjasama erat semua pihak yang tidak pernah mengenal penat lelah sejak bertahun-tahun lalu.
“Ini semua hasil usaha keras semua pihak. Nombor satu saya nak ucapkan terima kasih kepada Cik Amor bekas pengurus dan juga seluruh pasukan termasuk semua peneroka yang terus menyumbang tenaga dan buah fikiran,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Menurut beliau, kejayaan itu turut menjadi bukti bahawa tanah rancangan Felda masih relevan dan mampu mencorakkan masa depan komuniti luar bandar jika dipimpin dengan visi yang jelas dan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kami sudah bertanding hampir lapan tahun dalam kategori ini. Alhamdulillah, tahun 2024 menjadi rezeki kami menjulang gelaran juara buat kali pertama.
“Ini bukan kerja sehari dua, tapi hasil konsisten sejak 2005,” jelasnya lagi.
Felda Bukit Easter turut menerima wang tunai sebanyak RM1 juta sebagai ganjaran kemenangan, yang menurut Mohd Paiman akan dibincangkan bersama warga peneroka bagi memastikan penggunaannya membawa manfaat jangka panjang.
“Kita akan bincang kemudian bagaimana nak salurkan dana ini. Yang penting, biar beri impak sebenar bukan saja pada peneroka sekarang, tapi juga pada generasi yang akan datang,” katanya lagi.
Beliau juga yakin anugerah itu akan menjadi pemangkin semangat kepada seluruh komuniti Felda Bukit Easter untuk terus melakar kecemerlangan.
“Kita yakin dengan semangat dan kebersamaan rakan-rakan peneroka, serta seluruh kakitangan Felda, kejayaan ini boleh dipertahan dan dikembangkan pada masa depan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








