BERITA SEMASA

Fadhlina tinjau pengoperasian bilik darjah tambahan SK Cyberjaya

CYBERJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini melakukan tinjauan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya bagi melihat sendiri pengoperasian persekolahan sesi baharu dan penggunaan 12 bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS di sekolah tersebut.

Projek pemasangan bilik darjah tambahan baharu ini yang lengkap dengan kemudahan tandas, peralatan dan perabot, diserahkan kepada pihak sekolah pada September tahun lalu dan melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Fadhlina meninjau suasana pembelajaran dalam salah sebuah bilik darjah baharu di SK Cyberjaya, hari ini. – GAMBAR IHSAN KPM

“Pembinaan bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS adalah penyelesaian jangka pendek dan efektif bagi menangani isu sekolah padat.

“Ia dapat memberi keselesaan kepada kepada guru dan murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” kata Fadhlina dalam satu kenyataan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Buat masa ini, kesemua kelas dalam blok tambahan ini beroperasi sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih 400 orang murid Tahun Enam (sesi pagi) dan Tahun 3 (sesi petang).

Tambah Fadhlina, secara keseluruhannya, sebanyak RM69 juta sudah diperuntukkan untuk pembinaan 301 bilik darjah tambahan baharu menggunakan kaedah IBS di 95 buah sekolah seluruh negeri Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, bagi mengatasi isu kepadatan murid, sekolah baharu iaitu SK Cyberjaya 2 yang dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2027.

“Kerajaan MADANI komited untuk meningkatkan akses pendidikan dan menangani isu sekolah padat.

“Ini dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 44 buah sekolah baharu di seluruh negara pada tahun ini dan 26 lagi pada tahun 2024,” kata Fadhlina lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button