BERITA SEMASA

Esok tarikh akhir e-Filing pembayar cukai individu – LHDN

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai individu yang tidak menjalankan perniagaan agar mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 secara e-Filing selewat-lewatnya esok.

Dalam satu kenyataan, LHDN memaklumkan pengemukaan BN boleh dilakukan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau menerusi portal rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my dengan memilih perkhidmatan ezHasil > e-Filing.

“Pembayar cukai dinasihatkan untuk tidak bertangguh dan bertanggungjawab melaporkan pendapatan dengan tepat serta membuat bayaran cukai (sekiranya ada) dalam tempoh ditetapkan.

“Ini bagi mengelakkan tindakan penalti lewat penghantaran borang, kenaikan cukai dan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LHDN turut mengingatkan agar maklumat diri dan perbankan dikemas kini serta lengkap bagi memastikan proses bayaran balik cukai berjalan lancar sekiranya berkenaan.

Menurutnya, kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Antara tindakan yang boleh diambil termasuk denda antara RM200 hingga RM20,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika gagal mengembalikan borang atau memaklumkan pendapatan layak dikenakan cukai.

“Pembayaran cukai selepas tempoh yang dibenarkan juga boleh dikenakan penalti tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah cukai yang perlu dibayar,” kata LHDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button