Empat pendidik berganding bahu, sasar 100,000 murid sertai Math Expert
SHAH ALAM – Gabungan empat pakar pendidikan melancarkan Program Pelesenan Tuisyen Dalam Talian Math Expert yang menyasarkan penyertaan seramai 100,000 pelajar di seluruh negara.
Program itu menghimpunkan kepakaran tiga pusat tuisyen terkemuka iaitu Aster Edu, Maths Catch dan Fateh Intelligence, selain kolaborasi bersama pakar strategi pembelajaran negara, Dr Shukri Abdullah.
Tenaga pengajar Math Expert, Shahrin Zikri Shahrizman berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada penguasaan subjek Matematik bagi pelajar Darjah 4 hingga Tingkatan 5 melalui modul pembelajaran tersusun di bawah jenama Math Expert.
Beliau berkata, penekanan khusus juga diberikan kepada persediaan peperiksaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) termasuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Kami mensasarkan seramai 100,000 pelajar akan mendaftar melalui rangkaian program ini. Modul yang dibangunkan turut memberi fokus kepada persediaan PKSK bagi membantu pelajar melayakkan diri ke MRSM, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah khusus lain,” katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 6,000 pelajar telah menyertai kelas secara dalam talian yang dilaksanakan menerusi kaedah webinar, lengkap dengan sokongan tenaga pengajar dan ujian penilaian bulanan.
Sementara itu, Shahrin berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada pembaikan asas Matematik sejak peringkat awal bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia menghadapi PKSK.
“Kebanyakan pelajar gagal dalam PKSK bukan kerana tidak bijak, tetapi kerana asas Matematik yang lemah. Justeru, kami bermula dengan pengukuhan topik asas Darjah 4 hingga Darjah 6 sebelum memperkenalkan teknik pantas dan strategi menjawab soalan peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan pembelajaran yang santai dan interaktif turut diterapkan bagi menarik minat pelajar, selain membantu membina keyakinan diri untuk bersaing memasuki MRSM dan SBP.
Mengulas mengenai program pelesenan tuisyen Math Expert, Shahrin berkata, program itu turut membuka peluang kepada ibu bapa dan usahawan pendidikan untuk menjana pendapatan melalui model tuisyen digital tanpa perlu membuka pusat fizikal.
“Kami berharap inisiatif itu dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam Matematik serta meningkatkan kadar kejayaan pelajar Malaysia memasuki MRSM dan sekolah berasrama penuh pada masa akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


