POLITIK

DUN Kedah dibubar akhir Jun – MB Kedah

ALOR SETAR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan pada minggu keempat bulan hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, semalam.

“(Selepas ini) kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), sempena PRU-15, enam negeri akan adakan PRN, (sebelum ini juga) saya telah maklumkan lebih awal dalam sidang DUN (berhubung pembubaran DUN).

“(Jadi) kita akan bubarkan DUN ini penghujung bulan Jun (ataupun secara spesifik) pada minggu keempat, (tindakan) kemudiannya terpulanglah kepada SPR untuk tentukan tarikh pilihan raya (dan sebagainya),” kata Sanusi dalam portal Awani, malam tadi.

Sanusi berkata demikian ketika sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar di sini.

Dalam perkembangan berasingan, Sanusi menyatakan beliau berpuas hati dengan prestasi kerajaan pimpinannya yang genap tiga tahun mengambil alih pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga menyifatkan pengalaman yang dilalui dalam tempoh berkenaan sebagai Menteri Besar Kedah amat mencabar.

Ini kerana jelasnya, kesemua bekas Menteri Besar negeri itu disifatkan beliau sebagai individu yang sangat hebat.

Sanusi juga secara berseloroh menzahirkan rasa lega selepas tidak menjadi Menteri Besar yang paling singkat mentadbir negeri itu.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dimana Pas mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi.

PH pula memiliki 10 kerusi DUN, Barisan Nasional (dua kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (dua kerusi).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button