BERITA SEMASA

Dua anggota TDM cedera: Siasatan awal dapati tiada pelanggaran SOP – Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menubuhkan lembaga siasatan bagi menyiasat punca kejadian yang mengakibatkan dua anggotanya cedera semasa latihan menembak senjata bantuan di Kem Hobart, Gurun, kelmarin.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, berkata TDM turut mengeluarkan arahan menghentikan sementara semua latihan menembak senjata bantuan sehingga proses siasatan selesai, lapor Buletin TV3.

Beliau menambah bahawa lembaga siasatan tersebut akan menumpukan kepada tiga elemen utama, iaitu faktor manusia, teknikal, serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, tempoh siasatan tertakluk kepada proses pengambilan keterangan saksi, pemeriksaan teknikal senjata, serta analisis menyeluruh terhadap insiden tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa hasil semakan awal mendapati tiada sebarang pelanggaran SOP dilakukan dalam pengendalian senjata ketika kejadian berlaku.

“Prosedur yang sepatutnya diambil selepas tembakan dihentikan telah dipatuhi oleh anggota terbabit. Setakat semakan awal, memang tidak ada pelanggaran dari segi prosedur dan peraturan,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika latihan menggunakan ‘General Purpose Machine Gun’ (GPMG) apabila komponen ‘regulator’ pada senjata itu tercabut semasa sesi tembakan.

Anggota yang mengendalikan senjata berkenaan segera menghentikan tembakan dan bertindak mengikut prosedur keselamatan dengan memastikan senjata berada dalam keadaan selamat sebelum meletakkannya di atas tanah.

“Bagaimanapun, ketika anggota terbabit sedang mencari komponen ‘regulator’ yang tercabut itu untuk ditukar, senjata berkenaan tiba-tiba meletup, seterusnya menyebabkan ada objek yang terbang mengenai kedua-dua anggota yang mengendalikan senjata tersebut,” katanya.

Mengulas langkah pencegahan, beliau berkata, setiap latihan menembak didahului dengan pemeriksaan rapi terhadap senjata, peluru dan bahan letupan bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat serta sesuai digunakan.

Selain itu, setiap anggota diwajibkan untuk mengikuti sesi latihan teori terlebih dahulu sebelum dibenarkan menjalani latihan praktikal menggunakan peluru hidup.

Kelmarin, dua anggota tentera dari Kem Bukit Cowder, Perlis, cedera ketika menjalani fasa latihan senjata berat di Lapang Sasar Kem Hobart.

Dalam kejadian itu, seorang pelatih berpangkat Koperal mengalami kecederaan pada lutut kiri dan masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, kerana disyaki mengalami kecederaan saraf susulan pendarahan yang banyak.

Manakala jurulatih berpangkat Sarjan cedera di paha kanan dan menerima lapan jahitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button