BERITA SEMASADALAM NEGERI

Doa tujuh tahun dimakbul, ibu ‘Muka Gangster’ akhirnya peluk Islam

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun berdoa agar ibunya mengikut jejak langkahnya memeluk Islam, pempengaruh media sosial, MC Rock atau nama sebenarnya Muhammad Mikhael Sathayah yang lebih dikenali dengan gelaran Muka Gangster akhirnya melafazkan rasa syukur apabila doa itu dimakbulkan Allah SWT.

Berita baik itu dikongsikan beliau di dalam satu hantaran video yang menunjukkan ibunya melafazkan dua kalimah syahadah dengan bimbingan seorang imam.

Perkongsian video di laman TikTok miliknya itu menyentuh hati orang ramai apabila MC Rock sendiri atau nama sebenarnya Muhammad Mikhael Sathayah menyifatkan saat itu terasa seperti mimpi.

Muhammad Mikhael Sathayah bersama ibu dan isterinya.
Muhammad Mikhael Sathayah bersama ibu dan isterinya.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya mak masuk Islam. Rasa macam mimpi saat ini. Tujuh tahun saya jadi mualaf, tak pernah berani nak ajak mak.

“Mak banyak berkorban ketika saya mencari arah hidup. Dia terima keputusan saya dengan reda, malah benarkan saya masuk Islam. Terima kasih mak kerana sentiasa mahu lihat anakmu bahagia,” katanya dalam video tersebut.

Katanya, keputusan ibunya memeluk Islam dibuat atas kehendak sendiri selepas beberapa tahun mendalami ajaran Islam melalui pergaulan dan pemerhatian terhadap kehidupan anaknya yang sudah lebih dahulu memeluk agama itu.

Menurut Muhammad Mikhael, beliau bersyukur ke hadrat Ilahi kerana hasrat dan doa yang selama ini terbuku di hati telah ditunaikan Allah.

“Lama sudah saya mendoakan mak supaya kami (beliau dan isteri) dapat bersama tiga orang bersama-sama mendalami agama Islam,” katanya yang yakin doanya semasa mengerjakan umrah selama 12 hari tidak lama dahlu telah ditunaikan Allah.

“Ibu nampak sangat tenang dan gembira selepas melafazkan syahadah. Kami sekeluarga berharap orang ramai dapat sama-sama mendoakan agar beliau terus istiqamah dan diberikan kekuatan menempuh perjalanan baharu sebagai seorang Muslim,” ujarnya lagi.

Berita penghijrahan ibu Muhammad Mikhael yang memilih nama Maimunah itu turut menerima reaksi positif dalam kalangan peminat di media sosial yang mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan keluarga berkenaan.

Muhammad Mikhael Sathayah ketika mengerjakan umrah tidak lama dahulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button