DBKL sita penjaja jersi tanpa lesen
KUALA LUMPUR – Tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti penjajaan tanpa lesen diteruskan apabila seorang penjaja jersi di Jalan Sultan Ismail dikenakan tindakan sita dalam operasi penguatkuasaan, baru-baru ini.
Menurut kenyataan DBKL, barangan penjaja berkenaan dirampas selepas dia dikesan menjual jersi tanpa kebenaran berhampiran sebuah bank di kawasan tumpuan pelancong itu.
Operasi bersepadu turut dilaksanakan di sekitar Bukit Bintang termasuk Pavilion, Jalan Changkat dan beberapa kawasan strategik lain.
Tambah DBKL, operasi penguatkuasaan berterusan itu merangkumi pemantauan, kawalan statik, rondaan dan sitaan di lokasi tumpuan utama seperti Masjid India, Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Changkat, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang.
“Di kawasan Masjid India, sitaan turut dibuat terhadap penjaja warga asing yang berniaga tanpa kebenaran di hadapan Kompleks Haniffa,” menurut kenyataan DBKL.
Agensi itu menjelaskan, tindakan tersebut diambil bagi memastikan laluan pejalan kaki, kawasan awam dan zon komersial sentiasa tersusun serta bebas halangan selain menjaga imej ibu negara khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong.
“Hasil rondaan di Jalan Bukit Bintang, Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang juga mendapati tiada aktiviti penjajaan tanpa lesen dengan semua kawasan berada dalam keadaan terkawal,” katanya.
DBKL menegaskan komitmennya untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya berdaya huni, selamat dan teratur serta mengharapkan kerjasama orang ramai dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








