DBKL nafi dakwaan video tular kait aktiviti salah guna kuasa
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menafikan sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengaitkan organisasi itu dengan aktiviti meminta wang perlindungan, salah guna kuasa atau perlakuan menyalahi undang-undang seperti dipaparkan dalam video yang tular di media sosial.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan, kenyataan atau perlakuan yang ditunjukkan dalam video berkenaan.
Menurut DBKL, sebarang kenyataan yang dibuat oleh individu dalam video tersebut adalah bersifat peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian mahupun tindakan DBKL.
“DBKL memandang serius penularan video tersebut kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan awam serta menjejaskan integriti, kredibiliti dan reputasi organisasi ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, DBKL menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan tuduhan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Dalam pada itu, DBKL turut menegaskan sekiranya terdapat maklumat sahih berhubung salah laku atau unsur jenayah, perkara tersebut wajar disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut lunas undang-undang.
Tambah kenyataan itu, DBKL kekal komited dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
