Dakwaan berlaku ketegangan antara Tentera Laut Filipina, Malaysia tidak benar – TLDM
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menegaskan bahawa dakwaan yang tular melalui sebuah video mengenai ketegangan antara Tentera Laut Filipina dan Malaysia adalah tidak benar sama sekali.
Menurutnya dalam satu kenyataan, tiada insiden yang berlaku seperti digambarkan dalam video berdurasi 12.51 minit yang tersebar di YouTube.
“Tiada insiden seperti yang digambarkan dalam video tersebut. Video ini jelas bertujuan untuk mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang telah lama terjalin antara Filipina dan Malaysia.
“Penyebaran maklumat palsu ini berpotensi untuk mencetuskan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan TLDM khususnya dalam menjaga kedaulatan perairan negara,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, sebaran maklumat palsu seperti itu boleh menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini serta dilihat menyumbang kepada agenda politik atau strategik tertentu.
Katanya, TLDM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
“Masyarakat awam diminta untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan demi menjamin keamanan sejagat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








