BERITA SEMASADALAM NEGERI

CUEPACS ingatkan penjawat awam jaga maruah, elak majlis hidang minuman keras

KUALA LUMPUR – Penjawat awam diingatkan supaya tidak menyertai sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras, sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi menjaga imej dan maruah perkhidmatan awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat menegaskan, larangan itu selaras dengan nilai profesionalisme serta peraturan tatakelakuan penjawat awam di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Menurut beliau, tindakan segelintir penjawat awam yang menghadiri majlis melibatkan minuman beralkohol boleh menjejaskan reputasi jabatan dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Sebagai penjawat awam yang berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan, setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej, dan maruah perkhidmatan awam.

“Penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan Mat turut menasihatkan mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam atau jamuan rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur terlebih dahulu.

Jika terdapat keraguan, penjawat awam dinasihatkan menolak jemputan tersebut dan melaporkannya kepada ketua jabatan atau pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.

Dalam masa sama, CUEPACS menyeru pihak swasta dan penganjur majlis supaya menghormati sensitiviti budaya dan agama, khususnya apabila melibatkan kehadiran penjawat awam yang kebanyakannya beragama Islam.

“Malaysia merupakan negara majmuk yang menekankan nilai kesopanan dan menghormati kepercayaan agama. Oleh itu, setiap penganjur perlu peka terhadap budaya rasmi kerajaan, terutama apabila majlis melibatkan kakitangan awam,” katanya.

CUEPACS turut meminta semua jabatan dan agensi kerajaan agar lebih berhati-hati dalam memilih acara yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi tidak baik terhadap perkhidmatan awam.

Adnan menegaskan, CUEPACS akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan penjawat awam kekal berdisiplin, berintegriti dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam setiap tindakan serta penampilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button