AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Care on Wheels: Aveta perluas bantuan bergerak dari utara ke selatan

KUALA LUMPUR – Aveta Motor Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap keyakinan pelanggan menerusi peluasan program sokongan selepas jualan, Aveta Care on Wheels ke utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

Langkah strategik itu bertujuan memastikan pengguna mendapat akses lebih pantas kepada bantuan teknikal dan perkhidmatan selepas jualan, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan serta keselesaan sepanjang tempoh pemilikan.

Di wilayah utara, Aveta memperluaskan liputan melalui dua rakan pengedar Preferred Plus iaitu KW Keat Wei Motor bagi liputan di Alor Setar dan Perlis, manakala CKT Motor memberi perkhidmatan di Sungai Petani dan kawasan sekitarnya termasuk Pulau Pinang serta Perak.

Bagi wilayah selatan pula, NG Brothers Motor menyediakan sokongan kepada penunggang di Johor meliputi kawasan dari Simpang Renggam hingga Johor Bahru.

Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim berkata, pengukuhan di tiga wilayah baharu itu membolehkan masa tindak balas dipendekkan selain memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih efisien tanpa memerlukan pelanggan bergerak jauh.

“Kesemua perkhidmatan ini disokong oleh rangkaian khidmat bantuan bergerak Aveta yang kini merangkumi enam unit di seluruh Semenanjung Malaysia, hasil kerjasama erat bersama pengedar Preferred Plus.

“Selain bantuan di lokasi, pelanggan turut menikmati kemudahan motosikal ihsan, menjadikan pengalaman lepas jualan lebih lancar dan mesra pengguna,” katanya.

Steven Lim (enam dari kanan) bersama salah satu rakan pengedar Preferred Plus yang menyediakan khidmat sokongan selepas jualan kepada pengguna Aveta.

Dalam masa sama, pasukan servis dalaman Aveta terus beroperasi di kawasan tengah, Melaka dan Pantai Timur bagi melengkapkan liputan perkhidmatan secara menyeluruh di seluruh negara.

Menurut Steven, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Aveta dalam membina ekosistem pemilikan yang menyeluruh dan berteraskan pelanggan.

Katanya, seiring perkembangan jenama itu di Malaysia, Aveta kekal komited untuk bukan sahaja menawarkan motosikal berkualiti malah memastikan setiap pelanggan menerima sokongan yang konsisten, praktikal dan boleh dipercayai di mana sahaja mereka berada.

Jenama Aveta yang semakin dipercayai terutama dalam segmen skuter di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button