Biduanita Negara kenang jasa pemandu teksi bawa beliau ke pentas Bintang HMI
KUALA LUMPUR – Sikap menghargai jasa orang lama yang ditunjukkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menyentuh hati khalayak apabila beliau kembali bertemu seorang pemandu teksi yang pernah membawanya ke pertandingan Bintang HMI pada awal perjalanan karier seninya.
Pertemuan penuh emosi itu berlaku ketika penyanyi tersohor berkenaan menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bersama masyarakat setempat, selain menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Menerusi satu perkongsian oleh @Yayasan.nurjiwa di aplikasi Thread, Siti Nurhaliza dilihat bertemu semula dengan pemandu teksi veteran tersebut di Kuala Lipis, baru-baru ini.
“Momen yang cukup mengharukan, pak cik inilah yang pernah memandu teksi membawa Datuk Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu,” kata Yayasan Nurjiwa.
Jelasnya, pada hari Siti dinobatkan sebagai juara, beliau pulang ke kampung bersama kedua ibu bapanya menaiki teksi pak cik berkenaan sambil membawa pulang sebuah televisyen besar hasil kemenangan tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai meluahkan rasa sebak apabila mengetahui pemandu teksi itu bukan sahaja saksi awal perjuangan penyanyi berkenaan, malah individu yang membawa pulang kejayaan pertamanya ke Kuala Lipis.
“Terima kasih pak cik, sanggup terima permintaan dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur, semoga pak cik sihat selalu,” ujar seorang pengguna, Amirul Ashraf.
Sementara itu, seorang lagi pengguna turut memuji sikap Siti Nurhaliza yang disifatkan tidak pernah melupakan insan yang pernah membantunya suatu ketika dahulu.
“Tokti tidak pernah lupa siapa yang bantu dia dulu,” komen Abyad_79.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








