BERITA SEMASADALAM NEGERI

TELAAH: Program audio siar diluncurkan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan pemikiran mendalam rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan program audio siar TELAAH sempena Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Program audio siar TELAAH yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), merupakan wadah terkini yang mendukung aspirasi besar negara untuk membudayakan wacana berasaskan pembacaan serta mentransformasikan keghairahan terhadap ilmu menjadi amalan kebangsaan.

Anwar dalam sesi bedah buku episod pertama TELAAH yang diacarakan oleh Syed Munawar.

Lahir daripada gagasan dan aspirasi intelektual Perdana Menteri sendiri, TELAAH menyatukan naratif buku, bangsa dan budi dalam satu platform audio siar mingguan yang bersifat santai namun sarat nilai dan makna.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd. Khair Ngadiron.

“Menariknya, episod sulung TELAAH menyaksikan Perdana Menteri sendiri tampil sebagai tetamu istimewa dengan menyampaikan ulasan mendalam terhadap empat karya agung yang telah membentuk kerangka pemikirannya sejak puluhan tahun lalu.

“Episod berkenaan dihoskan oleh Sayed Munawar yang berjaya membangkitkan wacana penuh wibawa dengan gaya penyampaian yang menyentuh akal dan jiwa,” kata KPT dalam satu hantaran di Facebook.

Antara karya yang dikupas oleh Anwar termasuklah Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya oleh Allahyarham Za’ba; Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu oleh Prof. Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas; Jejak-jejak di Pantai Zaman oleh Allahyarham Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz serta Melayu dan Islam, Islam dan Melayu oleh Allahyarham Dr. Siddiq Fadzil.

“Peluncuran TELAAH bukan sekadar pelengkap kepada siri aktiviti intelektual PBAKL 2025 tetapi mencerminkan komitmen strategik kementerian dalam mengangkat semula nilai bacaan kritis, pemikiran reflektif dan keilmuan berwacana sebagai nadi pembinaan tamadun,” kata kenyataan itu lagi.

Disiarkan seminggu sekali melalui platform dalam talian dan media sosial, TELAAH mempertemukan tokoh-tokoh ilmuwan, penulis dan masyarakat umum dalam diskusi terbuka yang mencetus pemahaman lebih jitu terhadap pelbagai isu kemasyarakatan dan ketamadunan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button