AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Leave a Nest Malaysia anjur seminar robotik, sokong aspirasi negeri pintar Sarawak

Seminar bertemakan Robotic Facility Management for a Better Sarawak

KUCHING – Seramai 36 peserta mewakili 21 organisasi termasuk institusi pengajian tinggi, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta telah menyertai Seminar Tech-Garage edisi kelima yang berlangsung di Makeramai Makerspace, di sini baru-baru ini.

Seminar anjuran Leave a Nest Malaysia dengan kerjasama UGO Inc. dan disokong oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) itu merupakan antara usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri pintar dan mampan menjelang 2030.

Penolong Pengurus Leave a Nest Malaysia, Dr Hadi Akbar Dahlan berkata, pihaknya komited dalam menghubungkan sains dan masyarakat melalui inovasi akademik yang boleh dikomersialkan.

Program bertemakan Robotic Facility Management for a Better Sarawak itu memberi fokus kepada penyelesaian robotik dalam pengurusan fasiliti sebagai salah satu inisiatif menyokong transformasi digital negeri ini ke arah masyarakat pintar, inklusif dan lestari.

Antara pengisian utama seminar ialah demonstrasi secara langsung oleh UGO Inc., syarikat robotik yang berpangkalan di Tokyo, Jepun, yang memperkenalkan dua produk robotik pintar mereka iaitu ugo Pro dan ugo Mini.

Robot tersebut direka khas bagi menjalankan tugasan seperti pemeriksaan fasiliti, pemantauan persekitaran, penyelenggaraan prediktif dan operasi keselamatan. Ia sesuai digunakan di loji kuasa, kilang, utiliti air serta pusat data.

Baca juga : Leave a Nest Malaysia terajui usaha pupuk minat sains, teknologi di Asia Tenggara

UGO Inc., yang diasaskan pada tahun 2018, turut mempamerkan teknologi ugo Platform yang menggabungkan perkakasan terkini seperti kamera 4K teleskopik, penderia pelbagai persekitaran dan lengan robotik, bersama perisian berkuasa kecerdasan buatan (AI), automasi tanpa kod, kawalan jarak jauh serta integrasi sistem.

Menurut wakil UGO Inc., Roy Hadrien, teknologi tersebut terbukti mampu menjimatkan masa pemeriksaan sehingga 70 peratus serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

Ia sekali gus menjadikan penyelesaian itu sebagai alternatif praktikal dalam menghadapi isu kekurangan tenaga kerja dan penuaan demografi.

Menariknya, demonstrasi silang sempadan turut dijalankan apabila robot ugo dikawal secara langsung dari Sarawak bagi melaksanakan tugasan di Jepun, membuktikan kebolehsuaian serta kebolehskalaan sistem ini di peringkat global.

Robotik
Peserta Seminar Tech-Garage mendalami aplikasi teknologi robotik dalam pengurusan fasiliti, selari dengan aspirasi Sarawak menuju negeri pintar menjelang 2030.

Turut membuat pembentangan ialah Robopreneur Sdn. Bhd., syarikat robotik tempatan yang juga pengedar rasmi UGO di Malaysia.

Diasaskan oleh Dr Hanafiah Yussof, syarikat itu memperkenalkan platform Robot-as-a-Solution serta teknologi Vision AI mereka.

Syarikat tersebut kini aktif di 12 negara dan sedang membangunkan robot humanoid tempatan seperti ADAM, HANA dan HAN yang dijangka dikomersialkan menjelang tahun 2032.

Robotik
Sebahagian daripada 36 peserta Seminar Tech-Garage edisi kelima yang berlangsung di Makeramai Makerspace, Kuching.

Seminar itu turut menampilkan sesi interaktif melibatkan lima kumpulan perbincangan yang menyentuh isu berkaitan keperluan jenis robot di Sarawak, kesediaan infrastruktur, strategi kelestarian, jurang permintaan dan penawaran serta pendekatan inklusif yang melibatkan komuniti.

Hasil rumusan sesi perbincangan menunjukkan wujud minat mendalam dan kesediaan daripada pihak tempatan untuk meneroka penyelesaian bersama dalam bidang robotik, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi menegaskan kepentingan pendekatan dua hala dalam menyesuaikan teknologi dengan keperluan setempat.

“Saya mengalu-alukan minat UGO untuk memahami konteks Sarawak dan berharap kerjasama seumpama ini akan terus diperkukuh demi manfaat jangka panjang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button