RM450 juta setahun diperlukan hingga 2030 untuk baik pulih RKAT
KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya RM450 juta diperlukan setahun sehingga tahun 2030 bagi tujuan menambah baik kemudahan perumahan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan isu berkaitan perumahan anggota tentera sekiranya diperuntukkan secara berterusan.
“Jika kita sama-sama menyedari soal rumah (tentera) ini, diharap masa bahas RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), dapat dipastikan sehingga 2030 untuk penyelenggaraan rumah anggota tentera, setiap tahun sekurang-kurangnya kena diberikan peruntukan RM450 juta, maka selesailah semua masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Bakri meminta penjelasan mengenai perancangan jangka panjang kementerian itu bagi menyelesaikan masalah perumahan anggota tentera.
Baca juga : RKAT Kem Perdana Sungai Besi diberi wajah baharu: Kebajikan anggota ATM jadi keutamaan
Menjawab soalan asal Manndzri Nasib (BN-Tenggara), Mohamed Khaled berkata, di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,733 unit RKAT baharu dirancang untuk dibina sehingga 2030, tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan semasa.
Jelas Khaled, di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, peruntukan penyelenggaraan RKAT menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
“Bagi 2025, MINDEF diperuntukkan sebanyak RM426.4 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT, iaitu peningkatan sebanyak 6.62 peratus berbanding RM400 juta pada 2024 dan RM236.7 juta pada 2023,” katanya.
Menurut beliau, sejak tahun 2022, sebanyak enam Projek Bina Baru RKAT melibatkan 2,812 unit telah siap dibina di seluruh negara oleh kementeriannya.
“Selain daripada itu, sebanyak 10 buah Projek Bina Baru RKAT di bawah RMK-12 yang membabitkan 3,206 unit baru di seluruh negara sedang dalam proses pembinaan, membabitkan kos RM1.002 bilion, akan dijangka siap menjelang 2026.
“Seterusnya, sebanyak lapan projek bina baru RKAT yang membabitkan 2,456 unit baharu masih dalam fasa perolehan dan ini membabitkan RM1.4 bilion,” katanya.
Tambah beliau, bagi kerja penyelenggaraan pula, sebanyak 19,978 unit RKAT telah diselenggara pada 2023 dan 20,954 unit pada tahun 2024. Sasaran untuk tahun ini adalah 11,607 unit lagi.
“MINDEF juga menyasarkan sebanyak 55,622 unit RKAT akan melalui proses senggaraan menjelang 2030,” katanya sambil menjelaskan MINDEF turut memberi perhatian kepada penyelenggaraan 38 buah sekolah dalam kem serta menyambut baik peruntukan khas RM20 juta bagi menaik taraf infrastruktur sekolah terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








