BERITA SEMASA

RKAT Kem Perdana Sungai Besi diberi wajah baharu: Kebajikan anggota ATM jadi keutamaan

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM400 juta bagi projek penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah ia juga mampu memperkukuh sistem sokongan sosial kepada barisan hadapan pertahanan negara itu.

Tidak terkecuali daripada menerima manfaat menerusi inisiatif tersebut adalah RKAT, Kem Perdana Sungai Besi, yang pada tahun ini telah menerima peruntukan sebanyak RM9.3 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih.

Menurut Ketua Pengarah Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Kolonel Azman A. Rahman, proses selenggara di kem berkenaan kini telah 90 peratus siap dan dijangka akan selesai pada penghujung bulan ini.

Ketua Pengarah Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Kolonel Azman A. Rahman dalam satu temu bual bersama media di Kem Perdana Sungai Besi. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Jelas beliau, keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini telah mengganggu kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan seperti mengecat, namun ia masih terkawal dan berjalan seperti yang dijadualkan.

“Keseluruhan blok yang telah diselenggara adalah sebanyak 49. Ada yang sudah 100 peratus siap dan ada juga 90 peratus siap. Jadi, Insya-Allah dalam bulan Disember ini semua kerja-kerja pembaikan akan selesai.

“Antara kerja-kerja selenggara yang dilakukan di RKAT termasuk mengecat, membaiki kebocoran, menukar kabinet rumah, manakala bagi penyelenggaraan kemudahan yang digunakan bersama seperti lampu, tempat letak kenderaan, lif, dan sistem perparitan turut dibaiki,” katanya dalam satu temu bual bersama media di Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.

Ketua Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Leftenan Kolonel Zamri Majid dalam satu temu bual bersama media di Kem Perdana Sungai Besi. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Ketua Kompleks Cawangan Perumahan Kem Perdana Sungai Besi, Leftenan Kolonel Zamri Majid berkata, peruntukan yang diterima pada tahun ini adalah yang tertinggi pernah diterima setakat ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT khususnya di Kem Perdana Sungai Besi.

Jelas beliau, tumpuan pihaknya pada tahun ini adalah kepada Blok Type G terlebih dahulu memandangkan keadaan blok berkenaan yang terlalu daif dan tidak sesuai untuk diduduki oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Apa yang kita lakukan pada tahun ini adalah ‘total maintenance,’ iaitu kerja selenggara pada skala penuh. Pada masa yang sama, ia akan menjadi penanda aras untuk kerja-kerja selenggara pada tahun-tahun akan datang.

“Kerja selenggara ini melibatkan 108 buah rumah dan Insya-Allah, dalam bulan ini kita akan siap sepenuhnya . Penghuni-penghuni terdahulu yang tinggal di situ akan dipanggil kembali untuk menduduki rumah berkenaan,” katanya.

Leftenan Kolonel Zamri Majid melawat salah satu rumah yang telah siap diselenggara. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Leftenan Kolonel Zamri Majid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan dan MINDEF atas peruntukan yang disediakan tahun ini bagi menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dan kondusif kepada anggota TDM.

“Saya bersyukur dan berharap akan ada lagi peruntukan seperti ini pada tahun depan, terutama sekali bagi anggota yang berada di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Johor Bahru, memandangkan kos sara hidup di sana memang tinggi,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menyifatkan hasil daripada peruntukan yang digunakan untuk menyelenggara RKAT telah memberi impak positif dalam meningkatkan imej TDM khasnya dan ATM amnya di mata masyarakat.

“Dengan adanya peruntukan sebegini, kita dapat menjaga kebajikan anggota-anggota kita. Ini dapat memberi moral yang lebih kepada mereka untuk berkhidmat, sekali gus meningkatkan imej TDM di mata masyarakat,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri Panglima Medan Barat Tentera Darat amat perihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan anggota tentera dalam aspek keselesaan dan keselamatan anggota serta keluarga di RKAT terutama sekali di Kem Perdana Sungai Besi.

Kpl Mohd Hafiszudin Mohd Hairi bersama isterinya, Nor Azwa Sazni Mohamad Zaini ketika melawat rumah yang bakal didudukinya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, penghuni RKAT yang juga kerani pengurusan, Kpl Mohd Hafiszudin Mohd Hairi, 36, menyatakan rumahnya yang telah diberikan ‘wajah baharu’ sedikit sebanyak telah memberikan keselesaan kepada dia dan keluarganya.

Ditanya mengenai perbezaan yang paling ketara antara rumah sebelum dan selepas diselenggara, beliau berkata keadaan fizikal rumah itu sebelum dibaiki mengalami beberapa masalah.

“Keadaan rumah sebelum ini agak daif jika dibandingkan dengan sekarang kerana rumah yang dahulu mengalami kebocoran, manakala tandas pula ada yang tersumbat. Keadaan rumah sekarang lebih baik dengan sofa baharu, cat baharu, kelengkapan elektrik baharu dan turut dilengkapi dengan peti ais,” ujarnya.

Dapur rumah yang turut dilengkapi dengan peti ais – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune
Dapur rumah yang turut dilengkapi dengan kabinet. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune
Sofa baharu yang diletakkan di ruang tamu. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, beliau yang juga bapa kepada empat cahaya mata menyatakan bahawa kini, tidak perlu bimbang apabila keluar bekerja kerana keselamatan anggota keluarganya lebih terjamin.

“Dengan keadaan rumah yang diselenggara dengan baik, saya kini tidak perlu bimbang sekiranya terpaksa keluar menjalankan operasi yang memerlukan saya meninggalkan anak di rumah bersama isteri,” ujarnya yang turut berkongsi kegembiraan bersama isterinya, Nor Azwa Sazni Mohd Zaini.

Sementara itu, seorang lagi bakal penghuni RKAT yang juga anggota TDM, LKpl Mursyid Syahidi Khalid, 28, berkata, penempatan di RKAT mampu mengurangkan beban kewangan keluarga anggota tentera dalam menampung perbelanjaan isi rumah setiap bulan.

“Sebelum ini, saya dan isteri menyewa di Bukit Jalil dengan kadar sewa RM1,300, yang mana ia agak tinggi bagi saya. Justeru, dengan adanya RKAT saya boleh jimat lebih RM1,000 bagi perbelanjaan bulanan.

“Selain itu, tempoh perjalanan saya ke tempat kerja juga akan lebih singkat, hanya memakan masa sekitar 10 minit jika dibandingkan sebelum ini iaitu sekitar 30 minit,” katanya lagi.

LKpl Mursyid Syahidi Khalid . – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tambah LKpl Mursyid Syahidi Khalid, beliau menganggap inisiatif yang diambil oleh kerajaan dan MINDEF dalam menyediakan kemudahan perumahan adalah bukti komitmen kerajaan hari ini dalam memastikan kebajikan warga ATM sentiasa terjaga.

“Saya berharap kerajaan akan meningkatkan lagi peruntukan pada tahun depan dengan bajet yang lebih baik untuk memperbaiki kerosakan bangunan lain demi keselesaan seluruh anggota bawahan mahupun atasan,” ujarnya.

Sebagai rekod, menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM420 juta disediakan untuk terus memelihara kesejahteraan anggota beruniform dan pesara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button