Raydiates Blue perkukuh kedudukan penganjur acara, terajui festival Ramadan dan raya skala besar di PICC
PUTRAJAYA – Syarikat penganjuran acara milik Bumiputera, Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates) bakal mencipta sejarah apabila bersedia menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, festival Ramadan dan raya yang akan berlangsung selama 33 hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 15 Februari depan.
Pengasas Raydiates, Rayme Zainal berkata, penganjuran berskala besar itu menandakan hala tuju baharu syarikatnya yang kini memberi fokus sepenuhnya kepada bidang pengurusan acara sebagai teras perniagaan utama.
Menurut Rayme, 47, walaupun memiliki pengalaman kerjaya dalam pelbagai industri termasuk perhotelan, perunding acara bebas dan seni, bidang pengurusan acara atau Event Organizer (EO) menawarkan jaminan pendapatan lebih stabil selain mempunyai prospek industri yang cerah di negara ini.
“Raydiates yang ditubuhkan pada 2023 kini mula mendapat kepercayaan pelanggan besar daripada sektor kerajaan dan swasta, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat dalam mengendalikan acara berskala besar,” katanya dalam kenyataan.
Antara kejayaan ketara Raydiates ialah pengendalian Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 yang mencatat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari operasi.
Bazar terbesar di Lembah Klang itu turut memberi pulangan memberangsangkan kepada peniaga apabila beberapa gerai dilaporkan mencatat jualan sehingga RM100,000.
Selain itu, Raydiates turut menganjurkan Karnival Anjung E.A.T.S sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung selama lima hari dan menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.
Baca juga : Bazar Aidilfitri Anjung Syawal rekodkan sejuta pengunjung, jualan peniaga cecah RM100,000
Syarikat itu juga bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi penganjuran Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Terengganu bagi memperkasa usahawan mikro.
Pada tahun sama, Raydiates menganjurkan Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 dengan penyediaan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rayme turut mencatat kejayaan apabila menganjurkan acara Fun Run dengan penyertaan hampir 1,000 peserta hasil kerjasama bersama Anytime Fitness Hampshire dan SimplySiti serta kemunculan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bagi pembuka tirai 2026, Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Festival itu dijangka menghimpunkan hampir 300 vendor dan menarik sehingga 800,000 pengunjung.
Rayme berkata, penganjuran tersebut selari dengan sasaran Raydiates untuk melangkah ke peringkat antarabangsa dalam usaha merancakkan industri pelancongan serta menjadikan Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








