PM Anwar lancar sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Muar hari ini
MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini, menandakan bermulanya sambutan peringkat kebangsaan yang akan diteruskan ke seluruh negara.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyempurnakan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 yang akan menjelajah seluruh negara membawa mesej perpaduan dan semangat cintakan tanah air.
Program sisipan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Tanjung Emas itu telah bermula sejak sejak Jumaat lalu, dengan menampilkan pelbagai pengisian berunsur komuniti dan kekeluargaan seperti pertandingan mewarna dan Bintang Suara MADANI, persembahan kesenian dan aktiviti kebudayaan tempatan.
Dua komponen utama yang menarik perhatian pengunjung ialah reruai usahawan Komuniti MADANI yang menghimpunkan peniaga mikro dan kecil dari seluruh negara serta reruai perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai.
Antara perkhidmatan disediakan ialah pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, pembaharuan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saringan kesihatan wanita serta potongan bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 30 peratus.
Acara kemuncak hari ini turut merangkumi Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk dan persembahan konvoi melibatkan aset darat dan air, dengan penganjur menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sebagai pencetus semangat kenegaraan menjelang 31 Ogos dan 16 September nanti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















