Pelarasan tarif air Selangor langkah mampan hadapi cabaran pertumbuhan populasi – MB
SHAH ALAM – Kenaikan tarif air di negeri Selangor yang akan berkuat kuasa mulai 1 September ini merupakan langkah penting untuk menjamin kelangsungan dan keberkesanan sistem perkhidmatan air negeri, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar berkata, Selangor, yang menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia mengambil langkah tersebut, dijangka menerima impak positif terhadap sistem air yang lebih mampan bagi menghadapi cabaran pertumbuhan populasi.
Beliau menjelaskan, pelarasan itu terpaksa dilakukan ekoran unjuran pertumbuhan penduduk negeri yang dijangka mencecah 8.36 juta menjelang 2049, iaitu peningkatan sebanyak satu juta rakyat berbanding jumlah pada masa ini.
“Bulan lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia ataupun DOSM telah membuat unjuran bahawa Selangor akan mencapai apa yang disebut sebagai peak population pada tahun 2049 dengan seramai 8.36 juta, iaitu penambahan satu juta rakyat jika dibandingkan dengan saat ini,” ujarnya.
Amirudin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bulanan bersempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, hari ini.
Baca juga : Caj air domestik di Selangor kekal RM6.50 sen – MB
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan pelarasan tersebut, pihaknya memberi jaminan kadar caj air untuk penggunaan 20,000 liter air sebulan atau kurang bagi setiap isi rumah akan kekal pada kadar paling maksima RM13 sebulan.
“Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain. Misalnya di Johor, caj untuk kadar penggunaan bulanan yang sama adalah RM21 sebulan, di Kelantan pula RM16 sebulan, Kedah RM16.2,” jelasnya.
Selain itu, Amirudin turut mengumumkan usaha yang sedang dijalankan untuk menambahbaik infrastruktur bekalan air di Selangor, seperti menyegrakan penukaran paip-paip lama asbestos cement sepanjang 1,600 kilometer yang sudah melebihi usia 40 tahun.
“Saya telah mengarahkan pihak Air Selangor untuk menyegerakan kadar penukaran paip-paip lama asbestos cement di mana sepanjang 1,600km melebihi 40 tahun,” katanya.
Amirudin berkata, pembinaan loji-loji rawatan air baru seperti di Rasau dan Labohan Dagang 2 juga dijangka akan menambah kapasiti bekalan air negeri sebanyak 2,730 juta liter sehari.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik apabila had pendapatan isi rumah untuk penerima Skim Air Darul Ehsan dinaikkan daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan.
“Oleh yang demikian, had pendapatan isi rumah bagi penerima Skim Air Darul Ehsan 20 meter padu percuma sebulan ditingkatkan daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan,” tambah Amirudin.
Amirudin menambah, kerajaan megeri turut berikrar untuk menampung peningkatan caj bekalan air bagi rumah-rumah ibadat dan institusi kebajikan, dengan anggaran kos penambahan sebanyak RM100,000 setahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








