Malaysia-Republik Tatarstan teroka peluang pelaburan, dagangan dan industri halal
KAZAN – Malaysia berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dalam sektor perdagangan, kewangan Islam dan industri halal dengan Republik Tatarstan, Russia dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala melalui saluran wilayah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dinyatakan ketika pertemuan beliau dengan Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Kazan Kremlin, semalam.
“Saya menzahirkan penghargaan atas jemputan ke Kazan dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang yang menjadi kepakaran bersama seperti perdagangan, kewangan Islam dan industri halal,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau.
Beliau tiba di Kazan dan disambut Rustam dengan sambutan tradisional masyarakat Tatar Russia yang dihidangkan dengan manisan chak chak dan karavay sebagai simbol penghormatan kepada tetamu.
Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang pelaburan, termasuk melalui penyertaan aktif Malaysia dalam Kazan Forum serta penerokaan lebih mendalam terhadap sektor halal dan kewangan Islam yang berkembang pesat di Tatarstan.
Ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan, bidang pertanian turut menjadi antara fokus perbincangan, khususnya dalam pembangunan baja bagi menjamin sekuriti makanan.
“Turut disentuh ialah kerjasama dalam bidang pendidikan teknikal, teknologi aeroangkasa dan sains.
“Rais Rustam turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Malaysia kepada Kumpulan Visi Strategik ‘Russia–Islamic World’. Mesyuarat yang akan berlangsung esok menjadi kesinambungan komitmen bersama untuk memperkukuh persefahaman, dialog antara agama dan keterangkuman sejagat,” katanya.
Selesai sesi pertemuan dan jamuan rasmi, Anwar berkata, beliau turut dibawa melawat Cathedral of the Annunciation yang terletak di dalam kawasan Kazan Kremlin.
“Saya kagum melihat seni bina bersejarah abad ke-16 ini yang menggambarkan keagungan seni bina Ortodoks Rusia serta menjadi saksi kepada sejarah panjang pertembungan budaya di wilayah ini.
“Berhadapan dengan katedral ini, berdiri megah Masjid Kul Sharif, simbol penting peradaban Islam di Tatarstan. Keberadaan dua rumah ibadah ini secara bersebelahan melambangkan semangat persefahaman dan keharmonian antara penganut agama berbeza yang telah lama berakar di bumi Rusia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








